Mohd Roji Kawi


Kuching: Pegawai kanan polis berpangkat Asisten Superintendan (ASP) adalah antara 152 individu yang ditahan dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Jalan Sungai Padungan di sini, Ahad lalu.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, turut ditahan dua lagi anggota polis berpangkat Sarjan dan Koperal.

Menurutnya, saringan air kencing terhadap tiga anggota polis berusia antara 45 hingga 49 tahun itu mendapati mereka positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamie.

"Susulan itu semua mereka disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Mereka kini ditahan tugas untuk siasatan dan tindakan lanjut," katanya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak di sini, tadi.

Mohd Azman berkata, dalam serbuan antara jam 1.20 pagi hingga 6 pagi itu, seramai 204 pengunjung pusat hiburan berkenaan diperiksa anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan JSJN Sarawak.

Menurutnya, daripada jumlah itu, seramai 152 individu berusia antara 19 hingga 54 tahun didapati positif dadah.

"Lapan orang daripada 152 yang positif dadah itu turut disiasat mengikut Seksyen 39B, ADB 1952 manakala 14 wanita warga asing yang positif sudah didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 di Mahkamah Majistret Kuching pada 26 Jun lalu.

"Pemeriksaan lanjut terhadap tujuh individu iaitu lima lelaki tempatan, seorang wanita tempatan dan seorang wanita asing berusia antara 26 hingga 42 tahun berjaya menemui 12 paket jus berisi serbuk campuran dadah MDMA dianggarkan seberat 540 gram.

"Seorang lelaki tempatan berusia 30 tahun disyaki membekalkan dadah di pusat hiburan itu. Dia turut ditahan bersama 45 paket jus berisi serbuk dadah ekstasi seberat 2,085.90 gram dan 63 biji pil ekstasi," katanya.

Menurutnya lagi, semua dadah yang dirampas itu dianggarkan bernilai RM197,458.

"Polis turut menyita harta bernilai RM1.17 juta iaitu empat kenderaan mewah, sejumlah barang kemas, lima utas jam tangan, 10 telefon bimbit, wang tunai sebanyak RM30,650 serta mata wang Singapura," katanya.

Azman Ahmad Sapri ketika sidang media. FOTO NADIM BOKHARI
Azman Ahmad Sapri ketika sidang media. FOTO NADIM BOKHARI

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Jun 2023 @ 1:24 PM