Mohd Roji Kawi


Kuching: Polis Sarawak menahan 41 individu termasuk 10 bukan warganegara kerana terbabit dalam parti liar secara tertutup di kediaman menerusi serbuan Ops Parti Liar bermula 29 Mei lalu hingga hari ini.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail berkata, operasi itu dijalankan khusus bagi mengesan aktiviti penyalahgunaan dadah di parti liar yang diadakan secara 'private' di kediaman bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Beliau berkata, parti liar itu dianjurkan pihak tertentu berikutan pusat hiburan tidak dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang berkuat kuasa ketika ini.

"Kesemua mereka ditahan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sarawak dalam enam serbuan di Kuching dan Padawan.

"Mereka terdiri daripada 27 lelaki dan 14 wanita yang berusia antara 18 hingga 42 tahun.

"Dalam serbuan itu pelbagai jenis dadah yang dianggarkan bernilai RM7,000 dirampas," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Menurutnya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 iaitu dua kes; Seksyen 39A(2) ADB 1952 (tiga kes); Seksyen 12(2) ADB 1952 (tiga kes) dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 (24 kes).

Aidi berkata, hasil risikan dan maklumat yang diperoleh dari Ops Parti Liar itu, JSJN Sarawak melancarkan satu lagi serbuan menerusi Ops Black Cat di sebuah kediaman di Kuching, pada 9 Jun lalu.

"Serbuan itu membongkar tempat penyimpanan dan pemprosesan dadah iaitu penghasilan serbuk jus campuran ekstasi dan ketamin di kediaman terbabit.

"Seorang penganggur lelaki berusia 27 tahun ditahan dalam serbuan itu," katanya.

Beliau berkata, turut dirampas 50 biji pil ecstasi, 354.13 gram ketamin, 320 biji eramin 5 dan 13.7 kilogram serbuk jus disyaki campuran ekstasi dianggarkan bernilai RM250,000.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B ADB 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati atau penjara seumur hidup atau jika tidak dikenakan hukuman mati, boleh dikenakan hukuman tidak kurang 15 sebatan.

DATUK Aidi Ismail menunjukkan paket berisi dadah yang menggunakan logo Halal di Pusat Media Ibu Pejabat Polis Kuching (IPK). FOTO Nadim Bokhari
DATUK Aidi Ismail menunjukkan paket berisi dadah yang menggunakan logo Halal di Pusat Media Ibu Pejabat Polis Kuching (IPK). FOTO Nadim Bokhari

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Jun 2021 @ 2:51 PM