KHAIRY hadir ketika penyerahan Nota Serah Tugas di Kompleks E, Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. FOTO Aziah Azmee
KHAIRY hadir ketika penyerahan Nota Serah Tugas di Kompleks E, Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. FOTO Aziah Azmee
Rafidah Mat Ruzki


Putrajaya: Bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin belum mengesahkan sama ada akan sekali lagi melawan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada pemilihan yang dijangka berjalan tahun depan atau sebaliknya.

"Let's see," jawabnya ringkas apabila ditanya wartawan adakah beliau akan bertanding jawatan Presiden Umno pada pemilihan parti itu nanti.

Sebelum itu, Khairy yang juga bekas Menteri Kesihatan hanya tergelak apabila diajukan soalan berkenaan.

Ketika kempen pilihan raya di Sungai Buloh bulan lalu, Khairy dilaporkan menyatakan hasrat untuk menawarkan diri menjadi Presiden Umno dan Perdana Menteri satu masa nanti.

Bagaimanapun ketika itu beliau tidak menyatakan bila akan bertanding jawatan dalam parti.

Ketika berucap pada Majlis Silaturrahim bersama Pertubuhan Amal Kebajikan Agama dan Masyarakat (Perakam) di Kelab Rahman Putra, pada 11 November lalu, Khairy secara terbuka mengakui tidak menggemari segelintir pemimpin Umno dan mahu 'membersihkan' parti itu, jika berjaya menawan Parlimen Sungai Buloh pada PRU-15.

Media sebelum ini melaporkan, Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2022 yang akan berlangsung pada 21 hingga 24 Disember ini tidak membabitkan pemilihan parti.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii dilaporkan berkata, pemilihan parti akan diadakan dalam tempoh enam bulan selepas pilihan raya umum (PRU) seperti ditetapkan dalam pindaan Perlembagaan Umno.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Disember 2022 @ 2:04 PM