Khairy beramah mesra bersama penyokong UMNO Negeri Perlis   pada Program Pagi Bersama Khairy Jamaluddin di Dewan 2020, Kangar.
Khairy beramah mesra bersama penyokong UMNO Negeri Perlis pada Program Pagi Bersama Khairy Jamaluddin di Dewan 2020, Kangar.
Dziyaul Afnan Abdul Rahman

Kangar: Calon Presiden UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar kecewa dengan tindakan Tengku Razaleigh Hamzah yang menyindir tindakannya menawarkan diri bertanding jawatan nombor satu parti itu.

Kata Khairy, tindakan Ahli Parlimen Gua Musang itu seolah-olah menunjukkan UMNO masih tidak mengamalkan sikap terbuka khususnya dalam soal pemilihan pemimpin parti.

“Saya kecewa dengan kenyataan beliau (Tengku Razaleigh) semalam, kerana sebelum ini beliau meraikan keterbukaan dalam UMNO.

“Malah, sebelum ini juga beliau sendiri menyebut UMNO perlu lebih terbuka, meraikan demokrasi dan menggalakkan persaingan sihat.

“Jadi dalam konteks ini (pemilihan Presiden), kenapa pula tiba-tiba dia berkata saya tidak layak bertanding ataupun tidak sepatutnya bertanding?” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Menurut Khairy, jika Tengku Razaleigh tetap dengan pendiriannya itu, UMNO akan kekal di takuk lama.

“Saya meraikan keterbukaan itu, jadi siapa yang rasa dirinya layak bertanding, bertanding saja dan tidak perlu memandang rendah pada kelebihan orang lain.

“Kalau masih bersikap demikian, nampaknya kita (UMNO) tidak keluar dari takuk lama kerana sentiasa berfikiran orang muda tidak sesuai bertanding jawatan besar, kena tunggu dulu dan sebagainya, pemikiran sebegini bukan UMNO yang baru,” katanya.

Katanya lagi, beliau berharap pada pemilihan esok, perwakilan dapat menggunakan suara hati mereka dalam memilih pemimpin, meskipun beliau mendengar beberapa perkara tidak enak berhubung pemilihan jawatan nombor satu dalam parti itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Jun 2018 @ 5:26 AM