GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Paras air di kebanyakan sungai di Terengganu mula menunjukkan trend menurun apabila hanya satu sungai direkodkan melepasi paras amaran.

Selain itu, lima lagi sungai direkodkan mencatatkan bacaan melepasi paras waspada.

Berdasarkan laman web rasmi Public Infobanjir Jabatan Pengairan dan Saliran, sungai yang merekodkan paras amaran adalah Sungai Nerus di Kampung Langkap, Setiu, dengan bacaan 20.24 meter (m) berbanding paras normal 17 m.

Sementara itu, sungai yang melepasi paras waspada adalah Sungai Setiu di Jambatan Permaisuri, Setiu yang kini mencatatkan bacaan 7.61 m dan Sungai Telemong di Kuala Ping, Hulu Terengganu (18.38 m).

Dua lagi sungai yang merekodkan bacaan melepasi paras waspada adalah Sungai Nerus di Kampung Jeram, Kuala Nerus, dan Sungai Marang di Jambatan Pengkalan Berangan, Marang masing-masing berada pada paras 2.29 m dan 2.32 m.

Turut merekodkan bacaan melepasi paras waspada adalah Sungai Tebak di Jambatan Tebak, Kemaman, dengan bacaan 17.54 m berbanding paras normal 15 m.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Disember 2022 @ 10:17 AM