KEADAAN paras sungai  selepas hujan lebat  semalam di Pusat Rekreasi Kalang Warisan. FOTO Ghazali Kori
KEADAAN paras sungai selepas hujan lebat semalam di Pusat Rekreasi Kalang Warisan. FOTO Ghazali Kori
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Dua sungai direkodkan melepasi paras amaran manakala tiga lagi mencatatkan bacaan melepasi paras waspada di Terengganu.

Berdasarkan laman web rasmi Public Info Banjir Jabatan Pengairan dan Saliran, setakat jam 9 pagi tadi, Sungai Nerus di Kampung Langkap, dan Sungai Nerus di Kampung Bukit di daerah Setiu direkodkan melepasi paras amaran.

Ketika ini, Sungai Nerus di Kampung Langkap, dan Sungai Nerus di Kampung Bukit masing-masing merekodkan bacaan 20.46 meter (m) dan 13.08 m berbanding paras normal 17 m dan 6 m.

Tiga lagi sungai yang mencatatkan bacaan melepasi paras waspada adalah di daerah Setiu , Hulu Terengganu dan Marang.

Sungai Setiu di Jambatan Permaisuri, Setiu kini direkodkan berada pada paras waspada dengan bacaan 7.61 m berbanding paras normal 5.5 m.

Di Hulu Terengganu, Sungai Telemong di Kuala Ping mencatatkan bacaan 17.97 m manakala di Marang, Sungai Marang di Jambatan Pengkalan Berangan kini mencatatkan bacaan 2.04 m.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) semalam mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap bahaya yang dijangka berlaku di beberapa daerah di Kelantan dan Terengganu hingga hari ini.

Menurut kenyataan itu, di Terengganu, ia membabitkan daerah Besut, Setiu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Disember 2022 @ 9:47 AM