FADHLINA (kanan) ditemui media. FOTO Danial Saad
FADHLINA (kanan) ditemui media. FOTO Danial Saad
Nur Izzati Mohamad


Nibong Tebal: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan memperincikan isu berhubung Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dan kalender akademik persekolahan pada sidang media khas minggu depan.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, beliau memohon semua pihak dapat bersabar memandangkan isu pendidikan begitu penting dan sedaya upaya akan menyelesaikan perkara yang diutarakan satu persatu.

"Seperti yang saya maklumkan bahawa satu sidang media khas akan diadakan minggu depan yang kita akan sentuh isu yang dibangkitkan untuk perincian yang menjadi hala tuju KPM.

"Ibu bapa boleh nantikan isu (UPSR, PT3), selain perkara yang berkait rapat dengan pemegang taruh serta konsultasi.

"Saya ambil kira semua pandangan, kritikan dan harapan ibu bapa termasuk semua pemegang taruh dalam isu berkaitan pendidikan ini," katanya ketika hadir pada Majlis Kenduri Rakyat anjuran Parlimen Nibong Tebal di pekarangan Masjid Daerah Seberang Perai Selatan, Jawi, di sini, hari ini.

Terdahulu, ibu bapa dalam beberapa hantaran di media sosial meminta Menteri Pendidikan yang baharu dilantik dapat mengembalikan semula peperiksaan UPSR dan PT3.

Ini berikutan ibu bapa menyuarakan kebimbangan akan nasib anak-anak mereka yang menjadi seolah-olah 'lost generation' pasca Covid-19.

Berhubung dengan kalender akademik pula, Fadhlina berkata, perkara itu sudah dinyatakan secara rasional melalui kenyataan KPM, hari ini.

"Cuma nanti saya akan perincikan mengapa ia jadi begitu kerana proses dia agak panjang untuk diceritakan jadi saya akan maklum juga semasa sidang media khas nanti.

"Saya mohon semua bersabar dan akan cuba selesaikan satu persatu mengikut proses," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Disember 2022 @ 3:53 PM