FADHLINA ditemui pada Majlis Pelancaran Taman Angkat Amanita Kontinjen Pulau Pinang. FOTO Danial Saad
FADHLINA ditemui pada Majlis Pelancaran Taman Angkat Amanita Kontinjen Pulau Pinang. FOTO Danial Saad
Nur Izzati Mohamad


Nibong Tebal: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tidak akan mengembalikan semula peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) walaupun ada permintaan khususnya ibu bapa yang mahu ia dikembalikan sebagai penanda aras pencapaian anak-anak mereka.

Sebaliknya, usaha KPM pada ketika ini adalah memberi tumpuan kepada Tinjauan Pelaksanaan Kurikulum Persekolahan 2027 dalam membangunkan kurikulum persekolahan baharu demi memastikan pendidikan masa depan lebih kukuh.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, ibu bapa diminta memberi tumpuan kepada usaha KPM yang akan mengadakan jelajah atau jerayawara berhubung kurikulum baharu ini.

"Ini kerana kita mahu libat urus yang meluas untuk (mendapatkan) input-input bagi memperkukuhkan sistem pendidikan negara.

"Apatah lagi, sekarang ini kita nak beri tumpuan kepada pentaksiran holistik kepada anak-anak kita khususnya pembangunan mereka secara keseluruhan bagi memastikan antaranya karakter (murid dan pelajar) boleh diperkukuhkan," katanya ketika ditanya berhubung permintaan segelintir ibu bapa di media sosial yang menyuarakan supaya UPSR dikembalikan agar menjadi penanda aras menentukan tahap pencapaian anak-anak mereka.

Terdahulu, Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal hadir merasmikan Pelancaran Taman Angkat Amanita Taman Pekaka, di sini, hari ini.

Ogos lalu, KPM melaksanakan satu Tinjauan Pelaksanaan Kurikulum Persekolahan 2027 secara dalam talian sebagai langkah membangunkan kurikulum persekolahan yang baharu.

Pelaksanaan tindakan segera dilakukan bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) serta pentaksiran dijalankan secara efektif dengan merujuk kepada aras yang ditetapkan dalam Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP).

Kerajaan sebelum ini memutuskan untuk memansuhkan sepenuhnya UPSR bermula 2021 selepas hasil libat urus dengan pelbagai pihak sejak peperiksaan berkenaan dibatalkan susulan Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Oktober 2023 @ 3:16 PM