(DARI kiri) Nurul Munirah, Mohd Hamdan dan Samsul.
(DARI kiri) Nurul Munirah, Mohd Hamdan dan Samsul.
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Pelantikan timbalan menteri baharu bagi melengkapkan kabinet Kerajaan Perpaduan perlu diberi ruang dan peluang bagi membuktikan keupayaan mereka membangunkan negara.

Guru agama, Samsul Alaudin, 37, berkata, pelantikan timbalan menteri yang baru diumum oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat memenuhi keperluan gabungan dalam parti politik Kerajaan Perpaduan.

"Untuk stabil mestilah ia perlu merangkumi semua sudut agama, kaum dan juga parti politik.

"Semua timbalan menteri yang dilantik mesti diberi ruang untuk bekerja," katanya.

Menurutnya, masih terlalu awal jika ada mengatakan seorang itu gagal seawal pentadbirannya tetapi tugas belum dilaksanakan.

"Cadangan dan pandangan supaya mereka lebih tumpu kepada ekonomi rakyat... pelantikan dari rakyat sebaiknya manfaat keutamaan dapat kepada rakyat," katanya.

Sementara itu, peniaga Mohd Hamdan Zainal Aznam, 37, berkata, ini adalah masa bekerja untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat serta menangkis segala tohmahan di atas kepincangan rakyat selama ini dengan bergabungnya Kerajaan Perpaduan.

"Rakyat ingin melihat pelantikan menteri dan timbalan menteri memberikan suatu kaca mata baharu dari segi peningkatan ekonomi dan sahsiah politik masa kini.

"Mereka juga harus memastikan dasar dan agenda rakyat diberi keutamaan juga menolak stigma negatif kepada barisan kabinet Perdana Menteri ke-10," katanya.

Eksekutif pemasaran, Nurul Munirah Abdul Rahman, 30, pula berkata, ramai muka baharu yang dilihat menjadi timbalan menteri dan itu langkah dilakukan Perdana Menteri untuk membawa Malaysia menjadi negara yang lebih maju.

"Rakyat juga sudah bijak memilih siapa ahli parlimen yang mereka inginkan untuk berkhidmat dan saya rasa Perdana Menteri kita jelas tahu apa yang rakyat inginkan dan telah membuat keputusan yang terbaik.

"Isu muka baru atau lama tidak perlu timbul kerana yang penting adalah dedikasi, komitmen dan integriti ahli kabinet itu sendri untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik untuk rakyat. Saya yakin di bwah kepimpinan Perdana Menteri kita, Malaysia akan menjadi negara yang lebih baik," katanya.

Mengulas mengenai pelantikan Adam Adli sebagai Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Nurul Munirah berkata, rakyat sudah memilih beliau dan dilihat mempunya kredibiliti sebagai seorang timbalan menteri.

"Apa yang penting kita beri masa dan lihat apa suara orang muda yang ingin dibawa oleh Adam Adli," katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkansenarai Timbalan Menteri di Putrajaya, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Disember 2022 @ 1:56 PM