FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Sistem perkhidmatan awam yang teguh di negara ini menjadi faktor hampir tiada implikasi terhadap kelancaran enjin pentadbiran kerajaan walaupun anggota Kabinet atau Jemaah Menteri belum dibentuk walaupun sudah lebih seminggu Datuk Seri Anwar Ibrahim mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-10.

Malah, penganalisa politik dan perundangan, Profesor Datuk Dr Abdul Halim Sidek berkata, rakyat di negara ini masih selesa menjalankan urusan seperti biasa seolah-olah tiada apa-apa berlaku dalam politik negara.

Beliau berkata, lebih sejuta penjawat awam yang kini diketuai Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali sentiasa teguh memastikan pentadbiran negara berjalan dengan lancar.

"Semuanya berjalan dengan lancar seolah-olah tidak ada apa-apa berlaku dan seperti tiada pertukaran kerajaan. Sebab itu selalu ditekankan bahawa ahli politik datang dan pergi tetapi komuniti penjawat awam sentiasa teguh menjalankan tanggungjawab mereka.

"Analoginya ia umpama sungai yang mengalir dengan baik walaupun isi sungai itu berlainan tetapi aliran air sungai itu elok sahaja berjalan lancar seperti biasa," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai kelewatan pembentukan anggota Kabinet Kerajaan Perpaduan diterajui Anwar.

Jumaat lalu, pada sidang media pertamanya selepas mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri, Anwar memaklumkan Kerajaan Perpaduan yang diterajuinya akan memiliki saiz Kabinet yang lebih kecil.

Beliau turut dilaporkan berkata, akan mengusulkan supaya gaji menteri dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan nanti dikurangkan susulan perkembangan situasi ekonomi kini.

Mengulas lanjut, Abdul Halim berkata, ada beberapa faktor yang sedang diambil kira Perdana Menteri dalam membentuk barisan Kabinet beliau termasuk janji untuk mengecilkan Jemaah Menteri yang memungkinkan tiada pelantikan Timbalan Menteri dan perkara mengenai Timbalan Perdana Menteri.

"Isu yang paling ketara sekali mengenai jawatan Timbalan Perdana Menteri. Sabah, Sarawak pun mahu untuk mewakili pribumi di sana. Kemudian PH (Pakatan Harapan) pendukung kuatnya iaitu DAP, ada juga ura-ura mahukan Timbalan Perdana Menteri dan inilah yang akan menjadi faktor penolakan oleh rakyat nanti.

"Dalam Perikatan Nasional (PN) iaitu Bersatu dan Pas dengan majoriti Melayu di situ pastinya mereka akan 'bantai' andainya Lim Guan Eng dilantik Timbalan Perdana Menteri.

"Kemudian mestilah Umno mahu juga diberikan portfolio Timbalan Perdana Menteri. Jadi sekarang rundingan demi rundingan berkenaan jawatan Timbalan Perdana Menteri," katanya.

Katanya, isu yang utama ketiga, adalah gesaan daripada sebahagian besar masyarakat termasuklah kumpulan badan bukan kerajaan (NGO) supaya Anwar tidak melantik Ahli Parlimen yang berdepan kes mahkamah sedang berjalan seperti Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Pengerusi DAP Lim Guan Eng dan Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman serta beberapa yang lain dalam Jemaah Menteri.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Disember 2022 @ 8:56 PM