Rosol Wahid.
Rosol Wahid.
Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Ahli Parlimen Hulu Terengganu yang dikekalkan sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna bertekad mengurangkan bebanan rakyat.

Datuk Rosol Wahid berkata, kepercayaan diberikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan digalas untuk memastikan rakyat tidak terbeban ketika negara berdepan pandemik Covid-19.

"Terima kasih diucapkan kepada Ahli Parlimen Bera kerana memberi kepercayaan menjawat jawatan itu.

"Saya berazam membantu Ismail Sabri dalam agenda keluar negara daripada cengkaman Covid-19 dan memulihkan ekonomi," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mengulas mengenai barisan kabinet, Rosol berkata, mereka yang dilantik memiliki pengalaman dalam membantu kerajaan memulihkan ekonomi negara akibat pandemik ini.

"Rakyat dan semua pimpinan politik diminta mendoakan agar usaha dilakukan kerajaan terutama untuk memulihkan ekonomi serta mengeluarkan negara daripada cengkaman Covid-19 tercapai," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Ogos 2021 @ 1:04 PM