FADILLAH (kanan) pikul tugas berat. FOTO NSTP
FADILLAH (kanan) pikul tugas berat. FOTO NSTP
Mohd Roji Kawi


MENTERI Kerja Raya yang baharu, Datuk Seri Fadillah Yusof mengingatkan rakan-rakan dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS) bahawa pelantikan mereka dalam Kabinet Persekutuan bukan untuk bermegah.

Sebaliknya, Ketua Whip GPS di Parlimen itu berkata, ia amanah besar yang diberikan pucuk pimpinan untuk mereka berkhidmat demi rakyat dan negara.

“Pelantikan ini perlu digalas dengan rasa rendah diri dan penuh rasa tanggungjawab,” katanya dalam kenyataan media, malam ini.

Pelantikan Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya itu ibarat sirih pulang ke gagang kerana pernah menjawat jawatan sama di bawah pentadbiran Datuk Seri Najib Razak.

“Pelantikan saya sebagai Menteri Kanan dan Menteri Kerja Raya, selain tiga Menteri penuh dan lima Timbalan Menteri yang diperuntukkan kepada GPS adalah pengiktirafan buat rakyat Sarawak di bawah kepimpinan Perdana Menteri kelapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin di peringkat Pusat dan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg di peringkat negeri.

“Kami anggota Kabinet dari GPS akan terus memperjuangkan hak Sarawak dan sentiasa memberi keutamaan kepada kepentingan nasional dalam melaksanakan amanah atas portfolio yang dipertanggungjawabkan,” katanya.

Mengulas lanjut, Fadillah berkata, walaupun GPS menganggotai Kabinet Persekutuan, namun kedudukan mereka kekal sebagai entiti politik Sarawak yang mesra Kerajaan Persekutuan, dengan GPS akan terus memperjuangkan hak-hak Sarawak dan tidak akan menyertai Perikatan Nasional (PN).

“Ketika di bawah Kerajaan Pakatan Harapan (PH) dahulu pun GPS mengambil pendekatan mesra Kerajaan Persekutuan.

“Namun bezanya, di bawah kepimpinan Tan Sri Muhyiddin, GPS diperlukan untuk bersama-sama berada dalam Kabinet serta mentadbir negara dan mendepani senario politik serta ekonomi yang kian mencabar demi kepentingan nasional,” katanya berterima kasih kepada Muhyiddin kerana memberi kepercayaan kepada wakil GPS.

Tiga lagi wakil GPS dilantik sebagai Menteri dalam Kabinet Persekutuan ialah Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Alexander Nanta Linggi; Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar; Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Seri Nancy Shukri.

Lima lagi dilantik sebagai Timbalan Menteri iaitu Datuk Hanifah Hajar Taib Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak); Hasbi Habibollah sebagai Timbalan Menteri Pengangkutan; Datuk Aaron Ago Dagang, Timbalan Menteri Kesihatan;Datuk Henry Sum Agong, Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar II dan Datuk Seri Tiong King Sing sebagai Timbalan Menteri Perpaduan Negara.

Dua lagi wakil Sarawak dalam Kabinet Persekutuan yang diumum hari ini ialah bekas Ahli Parlimen PKR, Ali Biju sebagai Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli serta Willie Mongin sebagai Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi.

Berita berkaitan:

  • Senarai Kabinet 2020
  • Sejarah buat PAS
  • Ahmad Amzad selesa bekerja dengan KJ
  • Ahmad Amzad selesa bekerja dengan KJ
  • MB Kelantan ucap tahniah kepada Kabinet
  • Enam menteri dari Sabah
  • Tok Pa jaga ekonomi
  • Kombinasi pengalaman pelbagai bidang, kepakaran
  • MCA kembali dalam barisan Kabinet
  • Dr Zulkifli mufti pertama jadi menteri
  • 4 Menteri Kanan ganti TPM
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Mac 2020 @ 9:34 PM