SALAHUDDIN membuat lawatan mengejut di kedai runcit dan Pasar Awam Putrajaya hari ini. FOTO Ihsan KPDNKSH.
SALAHUDDIN membuat lawatan mengejut di kedai runcit dan Pasar Awam Putrajaya hari ini. FOTO Ihsan KPDNKSH.
Samadi Ahmad


Putrajaya: Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDNKSH), Datuk Seri Salahuddin Ayub mengadakan lawatan mengejut ke kedai runcit dan Pasar Awam di pusat pentadbiran kerajaan di sini hari ini.

Menurutnya, dalam perjalanan ke pejabat hari ini beliau tergerak hati ingin singgah ke kedai runcit dan pasar awam tanpa memberitahu pengurusan kementerian kerana tidak mahu lawatan itu menjadi seperti acara keraian.

Katanya, beliau hanya ditemani pemandu dan pegawai pengiring yang bertindak sebagai jurukamera dan juruvideo.

"Saya mohon maaf sekiranya kualiti video dan suntingannya tidak memuaskan, "katanya melalui satu kenyataan hari ini.

Menerusi video yang dikongsi KPDNKHS, beliau membuat tinjauan di sebuah kedai runcit dan mendapati kehabisan bekalan minyak masak paket satu kilogram (kg).

Ketika di Pasar Awam Putrajaya beliau turut bertemu dengan peniaga telur dan ayam bagi berkongsi masalah dihadapi peniaga.

Salahuddin berkata, jelas menunjukkan terdapat kekurangan bekalan telur bersubsidi gred A, B dan C serta minyak masak bersubsidi paket satu kg di pasaran.

Menurutnya, beliau akan mengadakan mesyuarat bersama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan esok bagi membincangkan isu bekalan telur bersubsidi di pasaran.

Katanya, pada masa sama beliau akan mengarahkan Bahagian Penguat Kuasa KPDNKHS untuk menyelesaikan masalah minyak masak bersubsidi paket satu kg

"Saya akan bertindak,"katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Disember 2022 @ 8:15 PM