Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDNKSH) Negeri Sembilan menjalankan pemeriksaan telur di sekitar negeri ini. FOTO Ihsan KPDNKSH
Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDNKSH) Negeri Sembilan menjalankan pemeriksaan telur di sekitar negeri ini. FOTO Ihsan KPDNKSH
Ahmad Hasbi


Seremban: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDNKSH) Negeri Sembilan mendapati pembekalan telur ayam kepada peringkat pemborong dan peruncit di Negeri Sembilan tidak menghadapi masalah.

Pengarahnya, Zahir Mazlan berkata, ia hasil pemeriksaan dilaksanakan merangkumi pelbagai peringkat rantaian pembekalan dan pengedaran ayam serta telur ayam di Negeri Sembilan iaitu peringkat ladang, pemborong dan peruncit.

Bagaimanapun katanya, didapati terdapat permintaan dan pembelian yang tinggi sejak akhir-akhir ini daripada pengguna.

"Menerusi pemeriksaan khas di bawah Ops Ayam, Telur Ayam & Minyak Masak (OPS ATM), sebanyak 1,669 pemeriksaan premis dilaksanakan KPDNKSH Negeri Sembilan bermula 23 Jun sehingga 6 Disember 2022.

"Lawatan dan pemantauan di peringkat ladang pengeluaran telur ayam dilakukan dan mendapati pengeluaran di peringkat ladang adalah berada di tahap yang optimum.

"Justeru, pembekalan telur ayam kepada peringkat pemborong dan peruncit tidak menghadapi masalah," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelas beliau, terdapat permintaan tinggi daripada pengguna menyebabkan telur ayam habis terjual dalam masa yang singkat.

"Terdapat juga pasar raya yang terpaksa mengambil inisiatif mengehadkan pembelian untuk setiap pembeli supaya lebih ramai pembeli berpeluang mendapatkan bekalan telur ayam di premis itu.

"Malah, bekalan ayam di Negeri Sembilan juga didapati stabil dan mencukupi untuk menampung permintaan pengguna," katanya.

Zahir berkata, untuk memastikan bekalan telur ayam di negeri ini sentiasa mencukupi, pihaknya akan berterusan memantau tiga ladang, enam pemborong dan 90 peruncit utama yang juga pembekal telur ayam di negeri ini.

"Berdasarkan rekod pemantauan stok bekalan telur ayam daripada 30 November lalu sehingga 6 Disember, sebanyak 1,828,936 telur ayam pelbagai gred berada di pasaran untuk menampung keperluan pengguna di Negeri Sembilan," katanya.

Sehubungan itu beliau berkata, pihaknya ingin menasihati pengguna supaya membuat pembelian telur ayam dan juga barang keperluan lain seperti ayam secara biasa dan dalam kuantiti yang diperlukan sahaja.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Disember 2022 @ 4:10 PM