MOHD Khairi (kanan) ketika Pemeriksaan Situasi Bekalan dan Harga Telur Ayam di pasar raya di Jalan Selayang Baru. FOTO Fariz Iswadi Ismail
MOHD Khairi (kanan) ketika Pemeriksaan Situasi Bekalan dan Harga Telur Ayam di pasar raya di Jalan Selayang Baru. FOTO Fariz Iswadi Ismail
Noor Hidayah Tanzizi


Selayang: Seramai 183 peniaga sekitar Selangor dikenakan tindakan membabitkan pelaksanaan penentuan harga maksimum ayam dan telur ayam sejak 5 Februari lalu hingga kelmarin.

Ketua Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDNKSH) negeri, Mohd Khairi Jamaludin berkata, tindakan itu diambil ke atas pemeriksaan 6,635 premis membabitkan 190 pemborong dan 6,445 peruncit.

"Seramai 183 peniaga sudah dikenakan tindakan kes meliputi 28 kes kesalahan menjual melebihi harga maksimum, gagal meletakkan tanda harga khas berwarna merah jambu (144 kes) dan gagal mempamerkan tanda harga (11 kes).

"Semua peniaga terbabit dikenakan kompaun membabitkan jumlah keseluruhan RM42,400," katanya pada sidang media selepas melakukan pemantauan bekalan telur, ayam dan minyak masak di sebuah pasar raya di sini, hari ini.

Mohd Khairi berkata, sepanjang tempoh 11 bulan ini, pihaknya merekodkan 95 aduan membabitkan isu harga dan bekalan telur ayam, manakala isu sama bagi minyak masak mencatatkan 51 aduan.

Katanya, pemantauan pihaknya di lapangan mendapati hanya kira-kira 35 peratus saja berlaku kekurangan bekalan telur ayam di premis sekitar negeri ini namun ia hanya bersifat sementara.

"Sebanyak 65 peratus ada bekalan telur ayam di premis yang diperiksa selebihnya ada berlaku kekurangan bekalan yang bersifat sementara.

"Contohnya bekalan sampai hari ini, dan terlalu cepat habis menyebabkan pengguna lain yang datang kemudian mendapati telur sudah habis dijual terutama di kawasan bandar dan tumpuan," katanya.

Beliau berkata, orang ramai boleh memaklumkan perkara itu kepada pihaknya dan tidak membuat sebarang hantaran tular yang dikhuatiri boleh menimbulkan kegusaran kepada pengguna lain.

"Kita mengambil maklum dengan aduan diterima dan melaksanakan tindakan proaktif di peringkat lapangan, disamping pemeriksaan kita juga buat libat urus dengan pihak peniaga untuk membantu mendapatkan bekalan di peringkat pembekal.

"Orang ramai juga diharap mengelak daripada menular isu berkaitan ketiadaan bekalan dan membuat pembelian panik di pasaran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Disember 2022 @ 12:41 PM