MOHD Hairul Anuar (tengah) membuat pemeriksaan ladang ayam bagi pemantauan harga.FOTO Ihsan KPDNHEP
MOHD Hairul Anuar (tengah) membuat pemeriksaan ladang ayam bagi pemantauan harga.FOTO Ihsan KPDNHEP
Omar Ahmad


KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor mengeluarkan 70 notis berhubung punca kenaikan harga ayam.

Pengarahnya Mohd Hairul Anuar Bohro berkata, notis itu membabitkan sembilan peladang, 19 pemborong serta 42 peruncit di daerah Kluang, Batu Pahat, Muar dan Johor Bahru.

Katanya, Bahagian Penguatkuasa KPDNHEP menjalankan pemeriksaan berkaitan harga jualan ayam sejak 10 Jun lalu.

"Pemeriksaan membabitkan semua rangkaian perniagaan yang terlibat seperti di peringkat ladang, pemborong serta peruncit.

"Sejumlah 105 pemeriksaan dijalankan meliputi sembilan ladang ayam, 29 pemborong utama dan juga 67 peruncit seperti pasar awam, pasar raya serta kedai runcit.

"Siasatan dibuat dengan penyerahan 70 notis di bawah Notis Seksyen 21, Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 bagi mendapatkan maklumat lengkap serta penjelasan daripada pihak berkaitan," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan di bawah akta terbabit terhadap mereka yang bersalah.

Menurutnya, bagi individu, sebarang perlanggaran peruntukan di bawah akta ini boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya dan bagi kesalahan kedua, denda sehingga RM250,000 atau dipenjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya.

"Manakala bagi syarikat, boleh didenda sehingga RM500,000 dan bagi kesalahan kedua didenda sehingga RM1 juta jika sabit kesalahan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Jun 2020 @ 4:44 PM