GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Batu Gajah: Seorang wanita bertindak seperti permainan video Grand Theft Auto (GTA) apabila cuba melarikan diri apabila dikejar oleh 10 kenderaan polis sebelum berjaya ditahan di KM29, Jalan Ipoh-Lumut awal pagi semalam.

Suspek berumur 39 tahun itu yang memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Innova berwarna putih dikejar sejauh kira-kira 65 kilometer selepas dilihat berada dalam keadaan mencurigakan di sekitar kawasan pekan Batu Gajah.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Mohamad Roy Suhaimi Sarif, berkata anggotanya yang menjalankan tugas rondaan cegah jenayah kira-kira jam 2.50 pagi semalam cuba menahan kenderaan suspek ketika itu namun dia enggan memberikan kerjasama.

Beliau berkata, suspek kemudiannya bertindak melarikan diri menggunakan Toyota Innova terbabit dengan memandu secara melulu dan berbahaya menghala ke Jalan Gopeng, Jalan Ipoh-Kampar, Jalan Malim Nawar, sebelum berhenti di lokasi jalan mati di Malim Nawar.

Katanya, dalam pada itu bantuan mengejar dan mengekori kenderaan suspek turut diberikan dua kenderaan dari Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Batu Gajah, kenderaan unit peronda polis (MPV) Batu Gajah (2), MPV Kampar (2), dan kenderaan Balai Polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kampar (2).

Mohamad Roy Suhaimi berkata, semasa di jalan mati itu suspek turut bertindak melarikan diri dari kepungan dengan melanggar beberapa kenderaan polis selain cubaannya melanggar seorang anggota yang berada di belakang ketika mengundurkan kenderaannya.

"Anggota polis terbabit melepaskan satu das tembakan pada tayar belakang kiri kenderaan suspek namun dia terus memandu melarikan diri.

"Namun apabila sampai di KM29 Jalan Ipoh-Lumut, kenderaan suspek berhenti sendiri akibat kerosakan teruk pada enjin dan tayar yang justeru menyebabkan dia berjaya ditangkap," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya lagi, pemeriksaan pada kenderaan dinaiki suspek bagaimanapun tidak menjumpai sebarang barangan salah dengan suspek dan kenderaannya dibawa ke IPD Batu Gajah untuk siasatan lanjut.

Menurutnya, bagaimanapun motif suspek bertindak lari dari pemeriksaan polis dan melanggar kenderaan polis adalah dipercayai kerana berasa takut dan marah akibat tekanan hidup.

Beliau berkata, pemeriksaan ke atas suspek yang menetap di Lumut itu bagaimanapun mendapati dia tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan lampau termasuk ujian awal saringan air kencing turut negatif.

Katanya, sebanyak lima kenderaan polis yang terbabit dalam insiden itu turut rosak akibat dilanggar kenderaan suspek.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 307 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan (KK); Seksyen 39 Akta Senjata 1960, Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987; dan Peraturan 10 Kaedah-kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59). Beliau berkata, suspek direman selama lima hari bermula semalam hingga 8 Disember ini untuk siasatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Disember 2022 @ 6:09 PM