Keadaan motosikal mangsa di Kilometer 12, Jalan Ipoh-Lumut pagi tadi. FOTO ihsan PDRM
Keadaan motosikal mangsa di Kilometer 12, Jalan Ipoh-Lumut pagi tadi. FOTO ihsan PDRM
Farah Suhaidah Othman


Batu Gajah : Seorang warga emas wanita maut selepas motosikal ditunggangnya bergesel dengan sebuah kereta dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Kilometer 12, Jalan Ipoh-Lumut di sini pagi tadi.

Kemalangan pada jam 7.30 pagi itu mangsa, Chong Siew Moy @ Chong Siew Moi, 71, yang beralamat di Taman Meru Jaya, Jelapang maut di lokasi kejadian manakala dua pemandu kereta dan seorang pemandu lori tidak cedera.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Mohd Nasri Omar berkata, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku ketika sebuah kereta jenis Perodua Kancil melanggar bahagian belakang sebuah lagi kereta jenis Proton Saga sebaik tiba di lokasi terbabit.

Katanya, kereta Proton Saga itu kemudiannya bergesel dengan motosikal ditunggang mangsa sebelum terjatuh di tengah-tengah jalan raya.

€œPemandu lori yang dalam perjalanan dari Ipoh menghala ke Lumut gagal memperlahankan kenderaan merempuh sebelah kiri belakang kereta Kancil sebelum mengheret kereta itu ke tengah jalan.

“Penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mohd Nasri berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Batu Gajah untuk bedah siasat.

Katanya, siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Februari 2017 @ 2:51 PM