AHMAD Zahid. FOTO BERNAMA
AHMAD Zahid. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuala Lumpur: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata masalah dan perbezaan politik harus diketepikan bagi merealisasi kerajaan perpaduan yang sebenar demi kepentingan rakyat.

"Kita memberikan keutamaan kepada rakyat, untuk mewujudkan kestabilan pada negara bagi menggamit semula pelabur asing untuk masuk ke negara ini dan menggalakkan DDI (pelaburan langsung domestik)," kata beliau kepada pemberita selepas istiadat mengangkat sumpah jawatan di Istana Negara hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata Jemaah Menteri daripada Barisan Nasional (BN) yang dilantik dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan mampu memantapkan sistem pentadbiran dan pengurusan negara.

Beliau berkata wakil BN berpengalaman luas dan mampu menggalas tanggungjawab serta mudah berasimiliasi dengan dasar kerajaan yang akan dilaksanakan.

Terdahulu, Ahmad Zahid bersama 26 menteri lain mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia Serta Sumpah Simpan Rahsia di Istana Negara.

Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut berangkat pada istiadat itu. Hadir sama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Disember 2022 @ 8:56 PM