Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Seramai 30 menteri termasuk empat menteri kanan dan 37 timbalan menteri mengangkat sumpah jawatan dan setia serta sumpah simpan rahsia di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, di sini bermula jam 2.30 petang hari ini.

Mengikut jadual seramai 31 menteri dan 38 timbalan menteri mengangkat sumpah hari ini.

Bagaimanapun, Tan Sri Noh Omar (Ahli Parlimen Tanjung Karang) yang dilantik sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi tidak dapat hadir kerana difahamkan menjadi kontak rapat pesakit Covid-19.

Sementara, Datuk Mohamad Alamin (Kimanis) yang dilantik sebagai Timbalan Menteri Pendidikan II, disahkan positif Covid-19.

Istiadat yang berlangsung di Balairung Seri itu juga tidak dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kerana perlu menjalani kuarantin kendiri selepas disahkan mempunyai kontak rapat dengan pesakit Covid-19.

Turut berangkat pada istiadat itu, Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat pada Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia Menteri dan Timbalan Menteri Persekutuan di Istana Negara hari ini. FOTO BERNAMA
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat pada Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia Menteri dan Timbalan Menteri Persekutuan di Istana Negara hari ini. FOTO BERNAMA

Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia dimulakan dengan mengurniakan kepada tujuh menteri iaitu Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Kanan Pendidikan Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin; Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan.

Seterusnya Mohamed Azmin mengetuai kumpulan pertama tujuh menteri itu melafazkan setia dan sumpah simpan rahsia di hadapan Agong.

Kemudian mereka menandatangani dokumen surat sumpah disaksikan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Istiadat pengurniaan dan lafaz sumpah bagi timbalan menteri pula diketuai Timbalan Menteri 1 Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad; Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Ismail Abdul Mutalib; Timbalan Menteri 1 Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said; Timbalan Menteri 1 Kewangan Mohd Shahar Abdullah; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Mastura Mohd Yazid; Timbalan Menteri 1 Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Ahmad Hamzah dan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin.

Istiadat diakhiri dengan bacaan doa yang dipimpin Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Luqman Abdullah kira-kira jam 4.30 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Ogos 2021 @ 2:56 PM