TUNKU Ismail pada Majlis Konvokesyen Ke-22 UTHM. FOTO ihsan UTHM
TUNKU Ismail pada Majlis Konvokesyen Ke-22 UTHM. FOTO ihsan UTHM
Essa Abu Yamin


Batu Pahat: Golongan muda terutamanya graduan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dinasihatkan untuk tidak terpengaruh dengan budaya dan anasir tidak elok.

Canselor UTHM, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Iskandar bertitah, perkara berkenaan perlu ditepis dengan pegangan agama yang kukuh, sekali gus menjadi pelapis dan membawa negara kepada satu tahap yang lebih maju.

"Para graduan perlu persiapkan diri dengan ilmu pengetahuan supaya bersedia dan berupaya mempertahankan kemakmuran dan kesejahteraan negara.

"Pegangan agama yang kukuh dan sahsiah yang terpuji para graduan ini akan mampu menyumbang bakti kepada keluarga, bangsa dan negara. Jadilah graduan yang berkualiti, berdaya saing serta menjaga nama baik universiti," titah baginda pada Istiadat Konvokesyen ke-22 UTHM di sini, hari ini.

Menurut Tunku Ismail, perpaduan dan muafakat adalah nadi penting dalam Bangsa Johor, di mana kepelbagaian agama, budaya dan adat resam sesuatu kaum haruslah dihormati dan dipelihara.

"Bagi mengekalkan semangat muhibbah seterusnya membawa kepada kesefahaman dan kemesraan sesama kaum.

"Atas permuafakatan dan semangat Bangsa Johor ini banyak meningkatkan kepesatan ekonomi dan hasilnya jelas dapat dilihat sebagaimana negeri Johor berada sekarang.

"Oleh itu, teras bersatu dan sepakat perlu perlu sentiasa diterap dan dikukuhkan dalam apa jua bidang tidak kira sama ada dalam sukan, politik, ekonomi mahupun pendidikan," titahnya.

Sementara itu, baginda juga menzahirkan ucapan selamat maju jaya dan mendoakan agar UTHM terus menjadi universiti relevan dan dinamik melahirkan graduan ke arah pemikiran kelas pertama.

Terdahulu, baginda dimasyhurkan sebagai Canselor UTHM dan adinda baginda, Tunku Temenggung Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim pula dimasyhurkan sebagai Pro-Canselor universiti berkenaan.

Seramai 4,484 graduan layak menerima sijil merangkumi pelbagai peringkat pengajian 3 hingga 8 Disember ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Disember 2022 @ 4:22 PM