MANGSA kemalangan babitkan sebuah kereta Perodua Kancil dan treler menyebabkan dua maut. FOTO Ihsan Bomba
MANGSA kemalangan babitkan sebuah kereta Perodua Kancil dan treler menyebabkan dua maut. FOTO Ihsan Bomba
Asrol Awang


Kuantan: Identiti mangsa rentung yang maut dalam kemalangan membabitkan kereta Perodua Kancil dengan sebuah treler di Kilometer 18 Jalan Pekan-Nenasi, Pekan semalam, dikenal pasti hari ini.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin berkata, mangsa adalah Muhammad Hanif Ikwan Md Kamizi, 18 dari Taman Peramu Jaya, 3, Pekan yang juga penumpang kereta Kancil itu.

Katanya, dalam kejadian 8.45 malam itu, pemandu, Muhammad Shafiq Haikal Mohd Najib, 18, turut maut di tempat kejadian.

"Berdasarkan siasatan awal, kemalangan berlaku apabila kereta dipandu Muhammad Shafiq Haikal dari arah Rompin menghala ke Pekan manakala treler yang dipandu lelaki berusia 42 tahun dari arah Pekan menghala ke Johor Bahru.

"Apabila sampai di tempat kejadian, kereta itu dipercayai hilang kawalan dan terbabas lalu melanggar bahagian hadapan treler di laluan bertentangan menyebabkan kereta terputus dua dan terbakar.

"Akibat kemalangan, Muhammad Shafiq Haikal tercampak keluar dari kereta dan meninggal dunia di tempat kejadian manakala Muhammad Hanif Ikwan rentung di dalam kereta.

"Kedua-dua mayat dibawa ke Hospital Pekan untuk bedah siasat," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Disember 2023 @ 5:54 PM