AL- Sultan Abdullah dan Tunku Azizah Aminah berkenaan melancarkan setem komemoratif 100 tahun UPSI dan syiling edisi khas di Kampus Sultan Azlan Shah (KSAS), Proton City. FOTO Rosman Shamsudin.
AL- Sultan Abdullah dan Tunku Azizah Aminah berkenaan melancarkan setem komemoratif 100 tahun UPSI dan syiling edisi khas di Kampus Sultan Azlan Shah (KSAS), Proton City. FOTO Rosman Shamsudin.
Rosman Shamsudin


Tanjung Malim: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenaan mencemar duli berangkat ke Majlis Makan Malam sempena Kemuncak Sambutan 100 Tahun Empat Era Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di sini, malam ini.

Majlis Makan Malam ' Seluhur Budi Sekalung Kasih' dianjurkan sempena Sambutan 100 Tahun yang bermula era Sultan Idris Training College (SITC) pada 29 November 2022, sebelum ditukar kepada Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI) disusuli dengan nama Institut Perguruan Sultan Idris (IPSI) sebelum dikenali sebagai UPSI.

Turut berkenan berangkat, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Pada majlis sama, Seri Paduka berdua turut berkenaan melancarkan setem komemoratif 100 tahun UPSI dengan kerjasama Pos Malaysia serta syiling edisi khas kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM).

Turut hadir, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan isteri Datin Seri Aezer Zubin; Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani; Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Datuk Seri Abdul Razak Jaafar; Pengerusi Lembaga Pengarah UPSI, Datuk Seri Rohani Parkash Abdullah dan Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff.

UPSI memiliki sejarah yang panjang berikutan penubuhannya berkesinambungan dari zaman SITC yang ditubuhkan pada 29 November 1922, MPSI, IPSI seterusnya dinaiktarafkan kepada UPSI pada 1 Mei 1997.

Sementara itu, Md Amin ketika berucap berkata, UPSI kini berada pada penarafan 182 terbaik di Asia dan ke-43 terbaik di Asia Tenggara.

Katanya, UPSI juga kini menjadi peneraju inisiatif pendidikan baharu melalui pengwujudan Perpustakaan Digital, Bandar Sukan, UPSI Adventure Park, Pusat Data dan Perkembangan Kanak-Kanak Negara dan Institut Peradaban Melayu.

" Hasil visibiliti , UPSI diberikan amanah menubuhkan Pusat Bahasa dan Kebudayaan Melayu di Uzbekistan, London, Rusia serta Emiriah Arab Bersatu (UAE).

"Sejarah UPSI yang panjang membabitkan empat era juga berjaya melahirkan ramai tokoh kepimpinan, kebahasaan, kesusasteraan, keusahawanan, kesukanan dan kesukarelawan yang mengharumkan nama UPSI," katanya.

Sejak era UPSI pada 1997, beliau berkata, UPSI sudah melahirkan lebih 200,000 graduan yang dikenali Anak Kandung Suluh Budiman (AKSB) yang banyak menabur bakti dan jasa kepada negara.

Beliau berkata, dalam tempoh lima tahun akan datang , UPSI berhasrat untuk muncul sebagai seratus terbaik di dunia dalam bidang pendidikan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Disember 2022 @ 10:49 PM