Sultan Nazrin Shah berkenan menyempurnakan pelancaran Sambutan 100 tahun penubuhan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Dewan Tuanku Canselor hari ini. FOTO BERNAMA
Sultan Nazrin Shah berkenan menyempurnakan pelancaran Sambutan 100 tahun penubuhan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Dewan Tuanku Canselor hari ini. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Tanjung Malim: Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan melancarkan majlis sambutan 100 tahun penubuhan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di sini, hari ini.

Keberangkatan tiba Sultan Nazrin pada 10 pagi itu turut diiringi Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim dan disambut Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dan Naib Canselor UPSI Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff.

Sambutan berkenaan antara lain membentangkan kenangan dan menghargai sumbangan seluruh alumni pusat pengajian tinggi itu yang bermula dari era Sultan Idris Training College (SITC), Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI), Institut Perguruan Sultan Idris (IPSI) hingga era UPSI.

Selain pelancaran sambutan, Sultan Nazrin dan Tuanku Zara turut berkenan melawat pameran berkaitan sejarah dan pencapaian UPSI sebelum beredar meninggalkan majlis.

Sementara itu, Noraini dalam ucapannya berkata rempuhan teknologi dan revolusi perindustrian 4.0 menuntut perubahan drastik sektor pendidikan tinggi negara agar lebih proaktif dan responsif kepada persekitaran.

"Pandemik Covid-19 umpamanya membuka mata segenap pelosok dunia tentang pentingnya kaedah pendidikan baharu berbanding kaedah pendidikan konvensional. Jadinya, inisiatif seperti pendigital adalah wajar untuk kita santuni," katanya.

Noraini berkata justeru, bentuk dan cara pembelajaran di universiti perlu disesuaikan mengikut zaman khasnya dengan perkembangan dan kepentingan teknologi.

Beliau menarik perhatian, UPSI juga perlu memberi penekanan kepada pendigitalan dalam kaedah pengajaran dan pembelajaran dengan kepakaran yang ada pada akademia di UPSI sekali gus hasrat membantu negara dalam merangka sistem pendidikan yang holistik dan kalis masa depan akan dapat dicapai.

"Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sentiasa menyokong pelbagai usaha UPSI dalam memartabatkan mutu pendidikan negara. Dalam hubungan ini, saya meletakkan harapan yang tinggi, agar warga UPSI meneruskan perjuangan, memperkasa dan meneroka pelbagai pendekatan yang efisien dalam melonjakkan dunia pendidikan negara.

"Kami di KPT amat mengharapkan kepakaran UPSI dalam memperkenalkan kaedah terkini, meremajakan kaedah pengajaran dan pembelajaran secara konvensional kepada digital serta pembentukan kurikulum holistik berteraskan keinsanan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 November 2021 @ 5:38 PM