SULTAN Nazrin bersama Tuanku Zara berangkat hadir di Majlis Pengisytiharan daerah Muallim. FOTO L Manimaran
SULTAN Nazrin bersama Tuanku Zara berangkat hadir di Majlis Pengisytiharan daerah Muallim. FOTO L Manimaran
Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop


Tanjung Malim: Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzudin Shah hari ini mengisytiharkan daerah Muallim sebagai daerah ke-11 di negeri itu.

Pengisytiharan itu disempurnakan baginda di Dewan Seri Tanjong Majlis Daerah Tanjung Malim (MDTM) di sini.

Pewartaan daerah ke-11 itu dibuat pada 10 Oktober tahun lalu selepas mendapat kelulusan Kabinet pada 10 April 2015 sebelum Sultan Nazrin memberi perkenan Muallim sebagai nama bagi daerah baru itu.

Sultan Nazrin bertitah, perkataan Muallim diambil daripada perkataan Arab berkaitan ilmu dan ilmuan yang bermaksud orang yang ahli dalam bidang agama.

"Ia bertepatan dengan nama Muallim sebagai nama daerah ini berdasarkan sejarah penubuhan Maktab Perguruan Sultan Idris (SITC) di sini pada 29 November 1922. SITC menjadi pusat ilmu dan pengajian tinggi tempatan untuk anak Melayu era pra-merdeka.

"Di sinilah lahir intelegensia Melayu yang meniupkan nasionalisme bangsa dan perjuangan menuntut kemerdekaan," titahnya.

Daerah baru itu berkeluasan 93,434.65 hektar membabitkan tiga mukim iaitu Slim, Ulu Bernam Barat dan Ulu Bernam Timur dengan kawasan terbabit adalah seperti Tanjung Malim, Trolak, Slim, Proton City dan sebahagian Behrang, yang sebelum ini berada di bawah pentadbiran daerah Batang Padang.

Turut berangkat ke majlis itu, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Puan Besar Perak, Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah dan Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 January 2016 @ 11:51 AM