Penternak lembu rugi RM20,000 selepas tujuh lembu miliknya dipanah petir. FOTO Ihsan Pembaca.
Penternak lembu rugi RM20,000 selepas tujuh lembu miliknya dipanah petir. FOTO Ihsan Pembaca.
RoselanAb Malek

Lipis: "Ketika hendak mengambil wuduk untuk menunaikan solat Maghrib, saya sudah berasa tidak sedap hati.

"Saya berasa bimbang apabila mengingatkan keselamatan ternakan lembu yang dilepaskan di sekitar kandang petang semalam kerana ketika itu hujan lebat diikuti dengan petir yang kuat", kata Ab Lah Mat Isa, 69.

Ab Lah berkata, seorang penduduk yang kebetulan melalui kawasan kandang lembunya dan menghubunginya pada waktu Subuh dan memaklumkan mengenai kejadian lembunya mati di panah petir.

Warga emas terbabit mendakwa mengalami kerugian kira-kira RM20,000 apabila tujuh ekor lembu ternakannya mati dipanah petir di Kampung Serunai, Mela dekat sini, petang semalam.

Kejadian itu dipercayai berlaku pada 7 malam ketika hujan lebat diikuti dengan petir yang kuat berdekatan kandang lembu di kampung terbabit.

Menurut Ab Lah, dia bergegas ke kandang itu dan terkejut apabila menemui bangkai lembu ternakan bergelimpangan tidak jauh di antara satu sama lain.

Katanya, kemungkinan tujuh ekor lembu yang mati dipanah petir itu berkumpul sambil berlindung di bawah pokok ketika hujan lebat dan petir itu berlaku.

"Kejadian seumpama itu merupakan pertama kali berlaku sejak saya menternak lembu kira-kira 20 tahun lalu.

"Kebiasaannya pada setiap petang saya akan pergi ke kandang untuk menjenguk dan mengawal ternakannya supaya tidak berkeliaran jauh dari kawasan lain, tetapi pada petang semalam tidak pergi ke situ kerana hujan sangat lebat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 November 2022 @ 3:53 PM