Sutekno (tengah) bersama ADUN Bukit Ibam mencuba permainan interaktif sempena dengan Hari Pengekalan Kepulihan Klien AADK di Felda Keratong 3, Rompin, Pahang.
Sutekno (tengah) bersama ADUN Bukit Ibam mencuba permainan interaktif sempena dengan Hari Pengekalan Kepulihan Klien AADK di Felda Keratong 3, Rompin, Pahang.
Natrah Laili Abdul Aziz


Kuala Lumpur: Masalah gejala penagihan dadah dan isu sosial dapat diatasi melalui kerjasama masyarakat setempat termasuk sokongan terhadap bekas penagih.

Langkah ini mampu membawa kesan positif terhadap kesejahteraan hidup masyarakat melalui sokongan usaha memulihkan bekas klien Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

Ketua Pengarah AADK, Tuan Sutekno Ahmad Belon berkata, usaha itu turut membawa kepada kejayaan mengekalkan penghijauan Kawasan Berisiko Tinggi (KBT).

Menurutnya, pihaknya akan terus menyokong klien AADK bagi program Rawatan dan Pemulihan Dalam Komuniti (RPDK).

"Saya sudah dibawa melawat ke beberapa projek di bawah inisiatif Kawasan Inisiatif Bersepadu (KIB) yang masih kekal beroperasi membabitkan penternakan arnab dan kambing serta pembuatan tanjak.

"Melalui kerjasama dan sokongan semua pihak, taraf hidup penduduk FELDA Keratong, Pahang, berubah ke arah yang lebih baik.

"Semua ini adalah hasil kerjasama dan kesepaduan gerak kerja antara masyarakat FELDA Keratong 3 bersama pihak AADK, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan lain-lain jabatan atau agensi serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO)," katanya dalam majlis Hari Pengekalan Kepulihan Klien AADK di Felda Keratong 3, Pahang, semalam.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Ibam, YB Datin Shamsiah Arshad, Pengarah Bahagian Rawatan, Perubatan dan Pemulihan AADK, Siti Mariam Mursidan serta Pengarah AADK Pahang, Zirwatul Ahlam Zamzam.

Dalam pada itu, Sutekno berkata, walau sehebat mana inisiatif dan dasar digariskan kerajaan untuk kesejahteraan rakyat, ia tidak akan memberikan apa-apa makna sekiranya kurang kerjasama dari komuniti dan masyarakat setempat.

"Kita haruslah peka dan cakna dengan setiap perubahan dalam kalangan ahli komuniti kita. Andai berlaku sebarang perubahan negatif, kita perlu bertindak secara bersama untuk menghalang daripada perkara ini terus berlaku.

"Program yang dianjurkan AADK Pahang itu juga bertepatan dengan objektif pelaksanaan KIB iaitu mendayaupaya dan pemilikhakkan peranan komuniti bagi mengekalkan kesejahteraan hidup rakyat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Julai 2022 @ 10:43 PM