HISHAMMUDDIN ketika hadir ke mesyuarat Dewan Tertinggi BN dan Ahli Parlimen BN. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
HISHAMMUDDIN ketika hadir ke mesyuarat Dewan Tertinggi BN dan Ahli Parlimen BN. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) yang membincangkan sokongan calon Perdana Menteri Ke-10 selesai malam tadi sebelum mengadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri' ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, esok.

Mesyuarat bermula sejak 9 malam tadi berlangsung kira-kira sejam itu dipengerusikan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Sumber memaklumkan, gabungan parti itu kemudian meneruskan agenda keduanya iaitu perbincangan bersama wakil rakyat BN bagi membincangkan isu sama.

Mesyuarat berlangsung di Ibu Pejabat Umno dekat Menara Dato Onn di sini, turut dihadiri Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan, Setiausaha Agung BN Datuk Seri Zambry Abdul Kadir dan Bendahari Agung BN Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Selain itu, turut hadir Naib Presiden Umno Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Datuk Seri Mahdzir Khalid, Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong serta Timbalan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah, Datuk Arthur Joseph Kurup.

Ketika ditemui di lobi Menara Dato Onn, Hishammuddin mengesahkan BN mengadakan dua mesyuarat berasingan bagi memuktamadkan sokongan kepada gabungan parti politik yang akan membentuk kerajaan.

Al-Sultan Abdullah menitahkan 30 Ahli Parlimen BN mengadap baginda di Istana Negara, jam 10.30 pagi esok.

Semua Ahli Parlimen BN dititahkan mengadap Agong secara berasingan bagi menyatakan sokongan untuk melantik seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hemat baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri seperti diperuntukkan mengikut Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 November 2022 @ 11:11 PM