ANWAR bersama Ahmad Zahid ketika mesyuarat pertama Sekretariat Kerajaan Perpaduan, yang membabitkan wakil parti kerajaan di ibu pejabat Umno, hari ini. FOTO Saifullizan Tamadi.
ANWAR bersama Ahmad Zahid ketika mesyuarat pertama Sekretariat Kerajaan Perpaduan, yang membabitkan wakil parti kerajaan di ibu pejabat Umno, hari ini. FOTO Saifullizan Tamadi.
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan mesyuarat pertama Sekretariat Kerajaan Perpaduan Malaysia dipengerusikan di Ibu Pejabat Umno di Menara Dato' Onn, di sini, hari ini bukanlah mesyuarat Umno.

"Ini bukan mesyuarat Umno," katanya ringkas dalam nada bergurau kepada media yang dibenarkan masuk untuk merakamkan gambar sebelum mesyuarat bersama pemimpin parti Kerajaan Perpaduan, malam ini.

Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu menjejak semula di bangunan Ibu Pejabat Umno selepas pemecatannya daripada parti terbesar Melayu itu sejak 25 tahun yang lalu.

Anwar mempengerusikan mesyuarat pertama Sekretariat Kerajaan Perpaduan, bermula kira-kira jam 8.30 malam ini.

Mesyuarat juga dihadiri pemimpin utama Umno dan Barisan Nasional (BN), termasuk Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Hadir sama, pemimpin utama parti Pakatan Harapan (PH), Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Gabungan Parti Sarawak (GPS) serta Parti Warisan (Warisan).

Anwar dipecat dari Umno pada 3 September 1998 dan sejak itu, Menara Dato' Onn bukanlah tempat untuk dikunjunginya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Februari 2023 @ 9:41 PM