Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Ketua bahagian Umno seluruh negara sebulat suara mendesak supaya Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15) diadakan segera.

Ketua Bahagian Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos berkata, keputusan itu dibuat dalam pertemuan tergempar pimpinan tertinggi parti bersama Ketua Bahagian di Menara Dato' Onn di sini, hari ini.

Beliau berkata, mesyuarat yang bermula 11 pagi itu antara lain turut membincangkan mengenai keperluan akar umbi bagi menghadapi pilihan raya akan datang.

"Tujuan kami dipanggil hari ini adalah untuk melihat kesiapsiagaan jentera PRU di setiap bahagian dan menyampaikan hasrat kami supaya jelas keperluan kami untuk menghadapi PRU.

"Malah, dalam mesyuarat itu tadi sebulat suara ketua bahagian yang hadir mahukan PRU dilakukan dengan kadar paling segera.

"Keputusan ini akan disampaikan kepada Perdana Menteri oleh Presiden dan Setiausaha Agung parti," katanya ketika ditemui pemberita di lobi Menara Dato Onn di sini, sebaik selesai mesyuarat itu.

Mesyuarat itu dihadiri oleh kira-kira 158 orang.

Antara pimpinan tertinggi parti yang hadir termasuk Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamad Hasan dan Setiausaha Agung Datuk Seri Ahmad Maslan.

Ditanya sama ada pertemuan itu turut membincangkan kes rayuan akhir membabitkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Mahkamah Persekutuan, Jamal berkata, ia tidak dibincangkan.

"Tiada langsung, tidak disentuh dan dibincangkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Ogos 2022 @ 4:04 PM