Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Istana Negara di sini, hari ini bagi menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Muhyiddin dan Anwar masing-masing tiba pada 4.06 petang dan 4.11 petang diiringi beberapa kenderaan lain.

Difahamkan, kedatangan kedua pemimpin berkenaan adalah berikutan Seri Paduka Baginda menitah perkenan untuk ketua-ketua gabungan parti bagi menghadap pada 4.30 petang ini.

KENDERAAN membawa Muhyiddin tiba di Istana Negara. FOTO Aizuddin Saad
KENDERAAN membawa Muhyiddin tiba di Istana Negara. FOTO Aizuddin Saad

Terdahulu, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, tiada ahli Dewan Rakyat yang mendapat kepercayaan majoriti mudah untuk dilantik sebagai Perdana Menteri seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara yang tersebut di atas.

Susulan itu, memandangkan tiada ahli Dewan Rakyat yang mendapat kepercayaan majoriti mudah, Seri Paduka Baginda menitah perkenan untuk ketua-ketua gabungan Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional menghadap pada jam 4.30 petang ini di Istana Negara.

ANWAR (kanan) dan Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution tiba di Istana Negara. FOTO Aizuddin Saad
ANWAR (kanan) dan Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution tiba di Istana Negara. FOTO Aizuddin Saad

Pengamal media mula berkumpul di pekarangan pintu satu dan dua Istana Negara sejak pagi ini.

Istana Negara terus menjadi tumpuan apabila gabungan parti politik yang dipersetujui perlu mengemukakan nama seorang Ahli Dewan Rakyat yang mendapat kepercayaan majoriti untuk menjadi calon Perdana Menteri Ke-10.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 November 2022 @ 4:32 PM