Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah akan membuat keputusan berhubung pelantikan Perdana Menteri ke -10 dalam masa terdekat.

Seri Paduka Baginda bertitah supaya rakyat bersabar dan bersifat rasional selain perlu bergerak ke hadapan untuk negara tercinta.

"Bersabar, terima keputusan rakyat, terima keputusan wakil rakyat dan terima keputusan Yang Dipertuan Agong.

"Itu sahaja, biar saya buat keputusan dalam masa terdekat ini," titah baginda ketika bertanya khabar pengamal media di hadapan pintu 2, Istana Negara, hari ini.

Terdahulu, Seri Paduka Baginda yang memandu sendiri kenderaan masuk semula ke Istana Negara selepas meninggalkan Istana pada jam 12.07 tengah hari.

Baginda turut bertitah, baginda tidak boleh mendedahkan kerana tidak menerima makluman terbaru.

"Saya baru balik, nak tengok siapa ada majoriti, mudah-mudahan Insya-Allah," titah baginda.

Istana Negara terus menjadi tumpuan apabila gabungan parti politik yang dipersetujui perlu mengemukakan nama seorang Ahli Dewan Rakyat yang mendapat kepercayaan majoriti untuk menjadi calon Perdana Menteri Ke-10 kepada Yang di-Pertuan Agong, sebelum jam 2 petang ini.

Ketua parti dijangka dipanggil untuk menghadap bagi Seri Paduka mendapatkan kepastian sendiri daripada mereka mengenai pendirian gabungan blok parti.

AL-Sultan Abdullah memberi isyarat tanda bagus sebelum turun dari kenderaan untuk bertemu petugas media yang berkampung di luar perkarangan pintu 2 Istana Negara. FOTO Aizuddin Saad.
AL-Sultan Abdullah memberi isyarat tanda bagus sebelum turun dari kenderaan untuk bertemu petugas media yang berkampung di luar perkarangan pintu 2 Istana Negara. FOTO Aizuddin Saad.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 November 2022 @ 2:51 PM