Aizat Sharif


Kangar: Seorang pekerja pembersihan yang mengalami masalah pendengaran sejak tujuh bulan lalu masih mampu menyumbang mesin dialisis untuk kegunaan masyarakat, demi saham akhirat.

Begitulah murni dan luhur hati, Khalipulizan Mansur, 54 yang mewakafkan dua mesin dialisis bernilai RM80,000 untuk digunakan oleh pesakit di Pusat Perkhidmatan Dialisis Hospital Tuanku Fauziah (HTF)-Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) Kangar di sini.

Khalipulizan atau mesra dipanggil Kali oleh rakan sekerjanya di pusat perkhidmatan dialisis berkenaan mengambil keputusan untuk mendermakan mesin dialisis itu selepas dia mendapat hasil jualan tanah dihibahkan kepadanya oleh datuk dan neneknya yang meninggal dunia lebih 10 tahun lalu.

Ketika ditemui pemberita, Kali bagaimanapun sukar untuk mendengar pertanyaan spontan daripada pemberita sebaliknya dia lebih senang ditanya menerusi soalan yang dikemukan secara bertulis kepadanya dan dia menyatakan bahawa rezekinya itu datang selepas dia menjual tanah seluas 1.007 hektar di Beseri, Disember lalu.

Dia berkata, selepas mendapat pulangan hasil jualan tanah miliknya itu, dia kemudian membeli mesin dialisis itu Januari lalu di Pulau Pinang dengan harga RM80,000 bagi kedua-dua mesin itu.

"Hasil jualan tanah itu kemudian membuatkan saya terfikir untuk berbakti dan melabur dalam saham akhirat di mana saya berniat untuk mewakafkan dua mesin dialisis buatan Jerman ini untuk digunakan pesakit di pusat dialisis tempat saya bertugas ini.

MESIN dialisis disumbangkan Khalipulizan di Pusat Perkhidmatan Dialisis HTF-MAIPs. FOTO Aizat Sharif
MESIN dialisis disumbangkan Khalipulizan di Pusat Perkhidmatan Dialisis HTF-MAIPs. FOTO Aizat Sharif

"Saya bertugas di sini jadi setiap hari saya melihat ramai orang dari pelbagai bangsa datang ke sini untuk menjalani proses dialisis disebabkan buah pinggang mereka tidak berfungsi jadi saya tidak sampai hati untuk melihat mereka menderita sebegitu. Untuk menderma atau menyumbang kepada mereka setiap hari saya tidak mampu jadi disebabkan itu saya merasakan dengan menyumbang mesin dialisis di pusat ini setidak-tidaknya ia mampu memberi manfaat kepada semua masyarakat yang datang disini.

"Selain itu juga, ini sebagai salah satu sumbang bakti saya kepada tempat saya bertugas dan ia diwakafkan atas nama datuk dan nenek saya untuk mereka terus mendapaat manfaat dan syafaat limpahan pahala dan rahmat secara berterusan walaupun mereka sudah tiada lagi," katanya ketika ditemui di Pusat Perkhidmatan Dialisis HTF-MAIPs di sini, hari ini.

Katanya, datuk dan neneknya, Ibrahim Abdullah dan Rafiah Saad meninggal dunia 10 hingga 11 tahun lalu ketika usia mereka 83 dan 85 tahun.

"Sejak saya kecil, saya diserahkan oleh ibu bapa saya kepada datuk dan nenek saya untuk dijaga sehinggalah dewasa malah saya juga pernah berkahwin dan mempunyai seorang anak tunggal lelaki namun apakan daya jodoh saya tidak panjang dan anak saya pula maut dalam kemalangan pada 2014 di Behor Empiang, Kangar.

"Namun itu tidak mematahkan semangat saya untuk meneruskan kehidupan ini dengan tenang dan syukur Alhamdulilah, sudah 15 tahun saya bertugas sebagai pekerja pembersihan di pusat dialisis itu dengan pendapatan bersih RM1,300, cukuplah hendak jalani hidup ini di Perlis," katanya.

Kali berkata, berhubung masalah pendengarannya pula, ia mula berlaku sejak tujuh bulan lalu selepas dia mengalami demam panas dan sejak dari itu, pendengarannya mulai mengalami gangguan dan meskipun dia masih boleh membaca dan bertutur namun tahap pendengarannya kini semakin terbatas.

"Tidak mengapalah, sekurang-kurangnya, saya mengharapkan agar sumbangan ini dapat dimanfaatkan oleh bersama-sama pesakit di sini.

"Yang penting, pahala akhirat itu kita kejar bersama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Februari 2023 @ 1:02 PM