Mohd Rafi Mamat


Kuantan: Serangan berdarah yang hampir meragut nyawa seorang bekas imam akibat ditetak serta ditikam lelaki pesakit mental ketika membaca al Quran di Masjid Al-Muttaqin Tanah Putih Baru, 21 tahun lalu tidak mungkin akan dilupakan warga emas itu.

Md Noor Awang Senik, 70, berkata dalam kejadian pada 4 Mac 2002 itu dia mengalami kecederaan parah pada bahagian lengan tangan kiri, tepi tapak tangan kanan, dada kanan dan menerima 124 jahitan.

Menurutnya, lelaki pesakit mental itu bersenjatakan parang panjang memasuki masjid dan meluru masuk ke dalam bilik bilal yang tidak berkunci.

"Beberapa jemaah yang berada dalam masjid menunggu waktu subuh melarikan diri apabila melihat lelaki terbabit muncul.

"Saya masih ingat lelaki terbabit marah kerana membaca al-Quran ketika itu... beberapa kali dia menjerit seolah cuba menghalang saya daripada terus membaca.

"Kemarahan lelaki terbabit memuncak apabila cuba menetak leher saya. Libasan pertama sempat saya tepis dengan tangan kanan dan menyebabkan luka pada tepi tapak tangan.

"Serangan kedua saya halang dengan tangan kiri apabila ditetak sebanyak tiga kali. Dia juga turut menikam pada bahagian dada kanan.

"Jubah putih yang saya pakai bertukar menjadi merah disebabkan darah yang banyak keluar. Bagi mengelak dari terus diserang lelaki terbabit yang semakin ganas, saya terpaksa bertindak berpura-pura pengsan. Selepas itu lelaki pesakit mental itu segera lari meninggalkan saya," katanya.

Md Noor yang ditemui di Masjid Al-Muttaqin Tanah Putih Baru, hari ini, berkata dia dimasukkan ke wad di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan selama lapan hari untuk rawatan.

Md Noor Awang yang kini bertugas sebagai amil fitrah bertauliah, berkata walaupun selepas 21 tahun namun detik cemas itu tidak mungkin dapat dilupakan

Menurutnya, difahamkan sebelum menyerangnya lelaki terbabit cuba menetak seorang lelaki hingga memaksanya menyelamatkan diri dengan terjun ke dalam Sungai Kuantan yang terletak hampir dengan Taman Tanah Putih Baru.

Md Noor menerima 124 jahitan selepas diserang lelaki pesakit mental dalam bilik bilal Masjid Al-Muttaqin Tanah Putih Baru pada 2002. FOTO MOHD RAFI MAMAT
Md Noor menerima 124 jahitan selepas diserang lelaki pesakit mental dalam bilik bilal Masjid Al-Muttaqin Tanah Putih Baru pada 2002. FOTO MOHD RAFI MAMAT

"Berikutan kecederaan parah yang dialami menyebabkan tangan kiri saya kini tidak lagi kuat, rasa kebas. Saya juga mengalami kecacatan kekal.

"Parut kecederaan dialami kini terus kekal namun itu tidak bermakna saya berdendam pada insan yang tidak waras ketika itu, sudah lama saya maafkan lelaki terbabit yang difahamkan meninggal ketika menjalani hukuman di penjara.

"Keluarga lelaki terbabit ada bertemu dengan saya sebelum ini untuk memohon maaf atas kejadian itu. Allah beri peluang untuk terus hidup sambil berbakti kepada masjid," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mac 2023 @ 4:20 PM