ARIFIN kiri); Pengerusi MAIWP, Tan Sri Dr. Daud Bakar (tengah) dan Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn (kanan) ketika pelancaran Wakaf ASNB
ARIFIN kiri); Pengerusi MAIWP, Tan Sri Dr. Daud Bakar (tengah) dan Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn (kanan) ketika pelancaran Wakaf ASNB
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Permodalan Nasional Bhd (PNB) menerusi syarikat pengurusan unit amanah milik penuhnya, Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) melancarkan perkhidmatan Wakaf ASNB secara rasmi pada Minggu Saham Digital.

Pengerusi PNB, Tun Arifin Zakaria berkata, perkhidmatan itu yang diperkenalkan pada 25 Oktober lalu bertujuan memudahkan pelabur bersedekah dengan unit amanah di ASNB secara berterusan setiap tahun, walaupun selepas meninggal dunia.

Katanya, perkhidmatan Wakaf ASNB menyatukan konsep pelaburan dunia dan akhirat yang mana pelabur boleh mewakafkan unit amanah mereka untuk manfaat berterusan kepada komuniti.

"ASNB adalah syarikat pengurusan unit amanah yang pertama dilantik sebagai mutawalli oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

"Dengan pelantikan ini, ASNB memikul amanah untuk menguruskan dana wakaf ini sepenuhnya dengan tahap tadbir urus yang tinggi dan profesional untuk kepentingan ummah dan masyarakat.

"Pulangan pelaburan yang dijana daripada dana wakaf akan disalurkan ke projek wakaf dalam sektor kesihatan, pendidikan, pembangunan komuniti dan misi kemanusiaan.

"Penelitian projek yang sesuai perlu melalui proses penilaian dan pemilihan secara kolektif oleh Jawatankuasa Pengagihan Wakaf Bersama ASNB-MAIWP," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, Wakaf ASNB berkonsepkan 'muabbad' iaitu wakaf berkekalan yang menyimpan dan melabur modal dana wakaf bagi mendapatkan pulangan setiap tahun.

Beliau berkata, dengan Wakaf ASNB, pewakaf layak mendapat potongan cukai pendapatan. Ia (juga) adalah pelengkap kepada khidmat perancangan kewangan ASNB yang merangkumi bermacam bentuk pelaburan untuk mencapai matlamat pelaburan yang berbeza-beza dalam kehidupan seorang pelabur.

Kini, semua pemegang unit Akaun Dewasa ASNB berbilang kaum boleh mewakafkan unit amanah mereka menerusi perkhidmatan Wakaf ASNB di semua cawangan ASNB seluruh negara.

Transaksi wakaf di portal dan aplikasi mudah alih myASNB akan bermula pada 1 November 2021 bagi semua dana ASNB, kecuali ASN Imbang 1 iaitu mulai 1 Disember 2021.

Transaksi minimum Wakaf ASNB adalah sebanyak RM1,000 bagi unit amanah harga tetap dan harga berubah harga silam, dan 1,000 unit minimum bagi unit amanah harga berubah harga hadapan.

Pelancaran Wakaf ASNB disusuli dengan forum bertajuk 'Wakaf – Faedah yang Berkekalan' yang menampilkan dua ahli panel iaitu Prof Madya Datuk Dr Izhar Ariff Mohd Kashim dan Prof Madya Dr Sharifah Hayaati Syed Ismail, bersama moderator, Ustaz Mohd Hariri Haji Mohamad Daud.

Selain itu, ASNB juga menampilkan segmen wakaf dalam program ASNB Whoa! Shop yang akan disiarkan menerusi Facebook dan YouTube MSD pada pada 2 petang, 22 November 2021.

Pada rancangan itu, seramai 100 pemenang bertuah berpeluang memenangi 100 unit percuma untuk ditambah ke dalam dana wakaf.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 November 2021 @ 3:15 PM