Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Perikatan Nasional (PN) diramal memainkan isu 3R (kaum, agama, raja) sebagai 'senjata' dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu yang akan berlangsung pada 11 Mei depan.

Penganalisis politik Dr Mohammad Tawfik Yaakub dari Universiti Malaya (UM) berkata, kaedah yang akan digunakan dilihat berbeza dan bukan secara terbuka seperti melalui hantaran di Facebook sebelum ini.

"Mungkin (akan dilakukan) secara berkempen dari rumah ke rumah. Isu-isu yang membangkitkan 'kepanasan' orang Melayu-Islam.

"Hal ini akan menjadi senjata ampuh atau peluru percuma kepada PN. Ini kerana orang Melayu tidak boleh dijentik isu emosi tentang agama dan kaum. Kalau tidak, susah untuk diredakan.

"Bagi saya, isu ini akan menjadi bola tanggung dan kelebihan kepada PN, apatah lagi kita lihat pengundi Melayu di kawasan itu antara 48 hingga 50 peratus. Lebih tinggi berbanding pengundi bukan Melayu," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Mohammad Tawfik turut menjangka PN akan menggunakan isu kos sara hidup, harga barang dan janji Pakatan Harapan (PH) yang masih belum dilaksanakan sepenuhnya sehingga kini.

"Bagi saya, ini kelebihan besar kepada PN dalam PRK Kuala Kubu Baharu," katanya

Berbeza dengan PN katanya, PH dilihat akan memainkan isu 'sentimental' membabitkan jasa bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Kubu Baharu, Lee Kee Hiong sebelum ini.

"Bagaimana jasa mendiang Adun kawasan itu yang berjaya mendapat majoriti besar berbanding dengan kawasan jiran, Hulu Bernam atau Batang Kali. Di Kuala Kubu Baharu (menang) lebih 4,000 majoriti, maka itu akan dimainkan oleh PH.

"Apatah lagi kerajaan akan mengumumkan struktur gaji baharu penjawat awam. Ia akan menggambarkan usaha kerajaan untuk memperbaiki sistem perkhidmatan awam. Jadi, isu tersebut akan dijadikan senjata oleh PH," katanya.

Turut sependapat, Pensyarah Pusat Perdana Fakulti Teknologi dan Informatik Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Madya Dr Mazlan Ali yang berpandangan isu 3R akan dimainkan sama ada oleh pembangkang mahupun kerajaan.

Beliau berpandangan, sebagai ahli politik, mereka tidak dapat mengelak isu itu dimainkan bertujuan untuk menarik sokongan undi orang Melayu.

"Bila nak dapatkan undi Melayu... tak kiralah kerajaan atau pembangkang, mereka akan gunakan isu 3R untuk menarik sokongan Melayu walaupun kerajaan dah kata akan bertegas isu 3R ini," katanya.

Katanya, pembangkang juga akan memainkan isu keretakan dalam Kerajaan Perpaduan mengambil contoh seperti MCA dan MIC yang didakwa tidak mahu turun berkempen serta tindakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengikrarkan afidavit menyokong permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

"Isu titah tambahan itu akan dimainkan. Isu akan dinaratifkan menunjukkan Kerajaan Perpaduan ini tidak bersatu," katanya.

Katanya, bagi parti dalam kerajaan, mereka akan membawakan isu kestabilan dan polisi yang dibawakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Kita lihat hari ini bilangan pelabur asing yang menyatakan komitmen meningkat dan pengangguran menurun," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 April 2024 @ 3:10 PM