KEJADIAN tanah runtuh di Taman Bukit Belian awal pagi, semalam FOTO Azrul Edham
KEJADIAN tanah runtuh di Taman Bukit Belian awal pagi, semalam FOTO Azrul Edham
Ahmad Hasbi


Seremban: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Negeri Sembilan mengisytiharkan lokasi kejadian cerun runtuh dekat Taman Bukit Berlian di sini, pagi kelmarin sebagai kawasan bencana.

Pengerusi JPBN Negeri Sembilan Datuk Dr Razali Ab Malik berkata, berdasarkan penilaian awal Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mendapati masih berlaku pergerakan tanah dan ia berisiko kepada penduduk.

"Runtuhan cerun itu dipercayai berpunca daripada aliran air luar biasa menyebabkan tanah menjadi lembut dan siasatan awal pihak JBPM mendapati masih berlaku pergerakan tanah yang berisiko tinggi untuk menyebabkan runtuhan lebih besar.

"Sehingga jam 12 tengah hari semalam, rekahan jalan akibat runtuhan semakin signifikan iaitu daripada beberapa inci lebar kepada lebih kurang dua kaki lebar (0.6 meter)," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, hujan lebat petang semalam dan pemantauan di tempat kejadian pada 8 malam tadi mendapati tanah semakin mendap dan rekahan menjadi lebih besar.

"Terdapat 12 rumah di Jalan Berlian 5 dengan jumlah isi keluarga seramai 47 orang. Tiada sebarang kehilangan nyawa dilaporkan akibat kejadian tanah runtuh ini.

"Berdasarkan penilaian awal JBPM, 12 unit rumah di kawasan berlaku runtuhan cerun adalah berisiko dan tidak selamat untuk diduduki.

"Oleh itu, semua penduduk bersetuju untuk keluar dari kediaman masing-masing sehingga siasatan lengkap dijalankan dan kerja baik pulih cerun selesai dilaksanakan bagi mengelakkan berlaku kemalangan jiwa.

"Sebarang pergerakan keluar masuk tanpa autoriti adalah di bawah risiko masing-masing dan pihak berwajib tidak bertanggungjawab ke atas sebarang insiden yang berlaku," katanya.

Razali berkata, Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Seremban sudah diaktifkan dan boleh dihubungi di talian 06-6011038.

"Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) beroperasi di lokasi dan kawalan di tempat kejadian akan diuruskan mengikut mekanisme pengurusan bencana negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Disember 2022 @ 1:07 PM