LAPORAN Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN Harian Metro sebelum ini.
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Kematian penyandang yang juga calon Pakatan Harapan (PH) kerusi Parlimen Padang Serai, M Karupaiya disifatkan satu kehilangan besar untuk keluarga dan masyarakat di situ.

Calon Barisan Nasional (BN) bagi parlimen berkenaan, Datuk Sivarraajh Chandran berkata, mendiang adalah seorang bekas tentera yang menghabiskan hidupnya dalam perkhidmatan awam dan dunia politik.

"Sebagai wakil MIC dan Barisan Nasional (BN) di sini, saya terkejut mendengar kehilangan beliau.

"Takziah kepada keluarga mendiang yang meninggal dunia beberapa jam lalu, menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang akan diadakan dua hari lagi. Saya juga mengucapkan takziah kepada penyokong Karupaiya.

"Ia sememangnya satu kehilangan yang besar dan tidak disangka-sangka kepada penduduk Padang Serai. Saya harap mendiang berehat dengan aman," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Terdahulu, M Karupaiya dilaporkan meninggal dunia di Hospital Kulim di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Mohd Redzuan Salleh, berkata mendiang meninggal dunia di Hospital Kulim pada jam 2.27 petang tadi.

Difahamkan, mendiang dimasukkan ke Hospital Kulim pada Isnin lalu, selepas mengalami pendarahan pada bahagian perut.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 November 2022 @ 4:43 PM