AZALINA. FOTO Arkib NSTP
AZALINA. FOTO Arkib NSTP
Adib Povera


Kuala Lumpur: Tiada keperluan untuk sebarang pertukaran tarikh baharu atau penangguhan pilihan raya bagi kawasan parlimen Padang Serai, selepas salah seorang calon yang bertanding di kerusi itu meninggal dunia.

Ketua Pasukan Petugas Khas Demokrasi dan Undang-undang Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, ini kerana Peraturan 11 (6) Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981, menyatakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hanya boleh menetapkan tarikh baharu sebelum pengundian dimulakan sama ada melalui pengundian awal atau menjelang hari pengundian itu sendiri.

Bagi kes Padang Serai, katanya, pengundian awal sudah pun bermula pada 7 November (undi pos) dan 15 November membabitkan polis, pasukan keselamatan dan pasangan masing-masing.

"Ini menyebabkan desakan untuk menangguhkan pilihan raya Padang Serai tidak perlu," katanya yang juga calon BN bagi kerusi Parlimen Pengerang, dalam satu kenyataan dikongsi di Facebooknya.

Katanya, proses pengundian awal juga sudah berjalan menyebabkan calon baharu tidak dapat dicalonkan bagi kerusi Padang Serai.

Beliau berkata, ini kerana undian awal bagi kerusi parlimen itu tidak dapat ditarik balik, disamping tiada peruntukan undang-undang untuk penamaan calon baharu selepas pengundian bermula.

"Justeru, undian boleh diteruskan untuk Padang Serai pada 19 November (Sabtu ini) mengikut Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981," katanya.

Azalina turut memuji kepimpinan calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Padang Serai, mendiang M Karupaiya.

"Beliau adalah Ahli Parlimen yang baik dan kawan baik kepada ramai (Ahli Parlimen) dari kedua-dua blok," katanya.

Karupaiya, yang dicalonkan semula untuk mempertahankan kerusi Parlimen Padang Serai bagi penggal keduanya, meninggal dunia akibat serangan jantung di Hospital Kulim, Kedah semalam.

SPR juga dilaporkan akan mengadakan mesyuarat khas esok (Jumaat) bagi membincangkan tarikh penting pilihan raya di Padang Serai.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 November 2022 @ 10:25 AM