Balqis Jazimah Zahari

Ipoh: Seorang remaja lelaki 19 tahun menghubungi keluarganya di negeri ini melalui Facebook Messenger meminta membuat laporan polis untuk menyelamatkan dirinya yang kini menjadi mangsa kekejaman sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar.

Mangsa memberitahu neneknya bahawa dia sering dipukul dengan kayu renjatan elektrik dan dipaksa bekerja sebagai 'scammer' dalam talian sejak Mei lalu.

Nenek mangsa yang hanya mahu dikenali Chong, 61, itu tampil ke Pusat Penyelaras MCA Ipoh Barat di sini memohon bantuan supaya cucunya itu yang dipanggil dengan nama Yang dapat dibawa pulang semula ke tanah air.

Ketua Biro Aduan dan Perkhidmatan Awam MCA Perak, Low Guo Nan berkata, nenek mangsa memaklumkan menerima panggilan menerusi Facebook Messenger daripada cucunya itu Isnin lalu yang meminta tolong diselamatkan.

"Cucunya menangis meminta tolong kepada neneknya kerana sudah terkandas dan diperdaya bekerja sebagai scammer di Myanmar sejak lima bulan lalu.

"Mangsa juga meminta neneknya membuat laporan polis untuk menyelamatkannya," katanya pada sidang media di Pusat Penyelaras MCA Ipoh Barat di sini hari ini.

LOW Guo Nan (kiri) bersama Chong (tengah) mengenai nasib cucunya yang dipaksa bekerja sebagai ‘scammer’ di Myanmar. FOTO L. Manimaran
LOW Guo Nan (kiri) bersama Chong (tengah) mengenai nasib cucunya yang dipaksa bekerja sebagai ‘scammer’ di Myanmar. FOTO L. Manimaran

Guo Nan berkata, satu laporan polis turut dibuat di Balai Polis Kampung Tawas di sini Isnin lalu.

Menurutnya, mangsa memberitahu pernah dipukul dengan kayu renjatan elektrik apabila tidak dapat membuat jualan melalui perniagaan dalam talian itu," katanya.

Katanya, nenek mangsa sebelum itu hanya diberitahu oleh cucunya mahu pergi bekerja di ibu kota Kuala Lumpur.

"Namun, mangsa sebenarnya diperdaya oleh rakannya yang menjanjikan peluang pekerjaan yang lumayan di Thailand sebelum dibawa ke negara Myanmar melalui perjalanan secara tidak sah.

"Mangsa memberitahu bahawa majikan meletakkan syarat untuk membayar pampasan sebanyak RM115,000 sekiranya mahu pulang," katanya mangsa pernah bekerja sebagai pembantu dapur di Ipoh dan Kuala Lumpur.

Menurutnya, mangsa turut memberitahu tempat operasi sindiket dikawal ketat dan terdapat kira-kira 100 mangsa yang kebanyakan warga tempatan.

"Kita juga menghantar surat kepada Polis ASEAN (ASEANAPOL), Polis Antarabangsa (INTERPOL) dan juga kedutaan di Myanmar supaya pihak yang berkenaan dapat mengambil tindakan susulan terhadap kes pemerdagangan manusia ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 November 2022 @ 1:23 PM