GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Polis membuka kertas siasatan berhubung papan iklan calon Pakatan Harapan (PH) Lembah Pantai, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil yang dirosakkan.

Ketua Polis Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, pihaknya menerima laporan daripada Timbalan Ketua Amanah kawasan Lembah Pantai yang menerima mesej WhatsApp, menunjukkan bahan kempen kena khianat pada 12.55 tengah hari.

Katanya, wakil itu mendakwa dua papan iklan gambar Ahmad Fahmi ditampal pelekat bertulis perkataan yang mengaibkan.

"Siasatan awal mendapati kejadian berlaku di tiga lokasi berasingan iaitu di Jalan Pantai Permai 1, manakala kejadian kedua di Jalan Maarof, Bangsar dan ketiga di Jalan Kerinchi berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Pantai.

"Kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan / 4A(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum lima rahun atau denda atau kedua-duanya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengingatkan semua pihak yang terbabit Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) agar menjaga tatatertib dalam berkempen dan tidak melakukan sebarang provokasi yang boleh mengganggu proses demokrasi negara.

Katanya, sebarang maklumat berkaitan perbuatan khianat boleh disalurkan kepada talian Hotline Polis Brickfields 03-2297 9222, Hotline Polis Kuala Lumpur (03-2115 9999) atau mana-mana balai polis berdekatan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 November 2022 @ 10:58 PM