HISHAMMUDDIN. FOTO BERNAMA
HISHAMMUDDIN. FOTO BERNAMA
Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dinasihatkan membuat pilihan bijak memilih calon dan parti yang mempunyai rekod serta pencapaian baik pada pengundian awal Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), esok.

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, setiap satu undi mereka penting dalam menentukan kerajaan yang memerintah untuk tempoh lima tahun akan datang.

"Saya nak ucapkan selamat mengundi kepada anggota ATM dan ahli keluarga masing-masing di seluruh negara, keluarlah beramai-ramai kerana ini adalah hak dan tanggungjawab saudara saudari demi memastikan kestabilan dan kemakmuran negara.

"Setiap satu undi penting dalam menentukan kerajaan yang memerintah untuk lima tahun mendatang, buatlah pilihan yang bijak, inilah pertimbangan paling adil," katanya dalam video perutusan khas di Facebooknya, hari ini.

Hishammuddin turut mengingatkan anggota ATM dan ahli keluarga supaya menjaga disiplin ketika melalui setiap proses pengundian.

"Kalau boleh keluar awal, peliharalah nama baik ATM, buktikan ATM contoh tauladan terbaik kepada masyarakat.

"Selamat mengundi semua," katanya.

Beliau yang juga calon Barisan Nasional Parlimen Sembrong turut mengimbas semula pelantikannya sebagai Menteri Pertahanan dengan melawati banyak kem dan pangkalan di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

"Anggota ATM dan ahli keluarga mereka di seluruh negara sentiasa dekat di hati, teringat sejak saya awal masuk semula sebagai Menhan 2.0 (Menteri Pertahanan).

"Banyak kem dan pangkalan yang saya lawati. Timur, barat, utara, selatan, Sabah dan Sarawak berceloreng hijau, biru dan kelabu.

"Setiap satunya masih segar dalam ingatan, sarat dengan semangat kekeluargaan ATM," katanya.

Seramai 146,737 anggota ATM dan pasangan yang berdaftar sebagai pengundi awal akan mengundi di 153 pusat pengundian yang diwartakan Suruhanjaya Pilihan Raya, esok.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 November 2022 @ 3:34 PM