Faizul Azlan Razak


Besut: Pemandu bot pelancong memohon pihak berkaitan supaya mengambil tindakan segera sama ada membaikpulih atau membina tangga baru di kawasan kincir angin di Pulau Perhentian di sini.

Ini kerana, tangga yang rosak teruk sejak lima tahun lalu akibat pukulan ombak membahayakan pelancong yang ingin mengambil gambar dan melakukan aktiviti lasak seperti mendaki.

Malah, pemandu bot pelancong memaklumkan, pernah berlaku kemalangan yang menyebabkan kecederaan terhadap pelancong yang terjatuh malah ada yang patah tangan.

Tinjauan ke kawasan peranginan itu mendapati, tangga yang dibina runtuh dipukul ombak dan tidak sesuai digunakan pelancong kerana ia mendatangkan berisiko kepada mereka.

Pemandu bot pelancong, Muhammad Ikram Hafiz Mat Adam, 27, berkata, jika diikutkan, dia tidak mahu membawa pelancong ke kawasan itu kerana bimbangkan keselamatan mereka.

Namun, dia yang sudah lima tahun memandu bot pelancong tidak boleh menolak permintaan pelancong yang memintanya menghantar ke kawasan kincir angin itu.

"Kawasan kincir angin itu sebenarnya tempat wajib disinggahi pelancong yang datang bercuti di pulau ini. Jadi, saya merayu pihak berkaitan supaya menyelesaikan masalah tangga ini demi kemudahan pelancong," katanya ditemui di perkampungan di pulau berkenaan hari ini.

Bagi Muhammad Mustaqim Mohd Alias, 28, ada dalam kalangan pelancong memberanikan diri menggunakan tangga runtuh itu untuk naik ke puncak bukit terbabit.

"Saya tidak mampu menghalang kehendak mereka walaupun sudah memberi nasihat tentang risikonya.

"Alasan mereka, tidak lengkap datang ke pulau ini jika tidak bergambar atau melakukan pendakian," katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Besut Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman berkata, kawasan kincir angin berkenaan sememangnya lokasi tarikan pelancong.

KEADAAN tangga ke kincir angin terletak di puncak bukit ‘Long Beach’ di Pulau Perhentian Kecil terbengkalai. FOTO Ghazali Kori
KEADAAN tangga ke kincir angin terletak di puncak bukit ‘Long Beach’ di Pulau Perhentian Kecil terbengkalai. FOTO Ghazali Kori

Beliau berkata, pihaknya sudah membawa isu masalah kerosakan tangga kepada kerajaan negeri namun mereka memaklumkan kawasan berkenaan milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan kawasan larangan.

"Bagaimanapun, kawasan itu tetap menjadi tumpuan pelancong dan mereka tetap akan mengunjunginya.

"Saya sudah berbincang dengan pihak TNB dan mereka menyatakan bahawa perlu ada kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dan agensi pelancongan bersama-sama bagi membaikpulih struktur tangga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 November 2022 @ 1:31 PM