KAWASAN berbatu di tepi pulau.
KAWASAN berbatu di tepi pulau.
Kristel Luz


MANILA, ibu negara Filipina yang cukup dikenali dalam kalangan pelancong sebagai bandar yang sibuk.

Bagaimanapun, masih ramai kurang mengetahui di sebalik kesibukan itu, terdapat kawasan luar bandar iaitu Tanay di Rizal dan Dingalan di Aurora yang mempunyai tarikan tersendiri.

Pada 2 Februari 2020, penulis bersama adik dan seorang rakan berkesempatan ke sana biarpun perancangan dibuat pada saat akhir.

Kami menaiki penerbangan tambang murah AirAsia yang menyediakan perjalanan terus dari Kota Kinabalu, Sabah ke Manila.

Menerusi bantuan agensi pelancongan tempatan di Manila, kami memilih untuk meneroka keindahan Tanay dan Dingalan selama tiga hari.

PENULIS (kanan) bersama adik di Treasure Mountain Sea of Cloud View.
PENULIS (kanan) bersama adik di Treasure Mountain Sea of Cloud View.

Tanay terletak di wilayah Rizal dengan mengambil masa kira-kira sejam 30 minit dari Bandar Metro Manila.

Kami memulakan perjalanan seawal 3.30 pagi bersama-sama pengunjung tempatan.

Antara tempat yang menjadi tarikan utama ialah Treasure Mountain Sea of Cloud, Ladang Kincir Angin Pililla, Gua Calinawan dan Air Terjun Daranak.

Antara paling melucukan apabila penulis tidak menyangka Treasure Mountain yang terletak di kawasan tanah tinggi agak sejuk.

KEINDAHAN Treasure Mountain Sea of Cloud View.
KEINDAHAN Treasure Mountain Sea of Cloud View.

Penulis yang tidak memakai pakaian tebal terpaksa menahan kesejukan ditambah lagi dengan angin yang agak kuat.

Selepas itu, kami meneruskan perjalanan ke Ladang Kincir Angin Pililla yang menempatkan lebih 20 kincir angin.

Pengalaman begitu menarik kerana itu kali pertama penulis dapat melihat kawasan kincir angin sebesar itu di depan mata.

Kami meneruskan perjalanan ke destinasi seterusnya iaitu Gua Calinawan dengan ditemani pemandu pelancong gua.

KEUNIKAN formasi batu Gua Calinawan.
KEUNIKAN formasi batu Gua Calinawan.

Pemandu pelancong itu memberi taklimat keselamatan sebelum kami memulakan perjalanan untuk melawat kawasan dalam gua.

Gua yang mempunyai lima lapisan itu memiliki keunikan formasi batu yang terdiri daripada stalaktit dan stalagmit. Kadangkala, kami terpaksa merangkak untuk melewati beberapa kawasan dalam gua berkenaan.

Pemandu pelancong gua itu turut memaklumkan gua berkenaan pernah dijadikan tempat persembunyian Penggerak Revolusi Filipina ketika perang Sepanyol-Amerika Syarikat.

Perjalanan kami pada hari pertama diakhiri dengan mengunjungi Air Terjun Daranak berwarna biru dan hijau yang memukau sesiapa melihatnya.

TERUJA melihat kincir angin di Pililla.
TERUJA melihat kincir angin di Pililla.

Pada keesokan hari, perjalanan dimulakan seawal 2 pagi dengan menaiki van ke Dingalan yang mengambil masa kira-kira empat jam perjalanan dari Bandar Metro Manila.

Kami tiba seawal jam 6 pagi di Feeder Port Dingalan dan perlu menaiki bot ke kawasan Pantai Putih dan Mountain View.

Kawasannya sangat bersih dan kami perlu mendaki kira-kira 20 minit untuk sampai ke puncak bukit.

Ia pengalaman yang sukar dilupakan kerana menyaksikan pemandangan dari bukit tinggi dalam kawasan pulau yang sungguh mempesonakan.

TEROKA tarikan tersendiri di kawasan luar bandar, Tanay di Rizal dan Dingalan di Aurora.
TEROKA tarikan tersendiri di kawasan luar bandar, Tanay di Rizal dan Dingalan di Aurora.

Kami meluangkan masa kira-kira lima jam di kawasan ini sambil berkunjung ke kawasan batuan tepi pulau.

Akhir sekali, kami berkunjung ke Air Terjun Laktas yang hanya kira-kira sejam perjalanan dari Feeder Port Dingalan.

Ia menjadi antara perjalanan kegemaran penulis kerana berpeluang merasai pengalaman menaiki traktor kecil sambil menghayati keindahan kawasan perkampungan.

Perjalanan kami memakan masa kira-kira 30 minit dengan melewati kawasan tanaman padi yang menghijau dan lebih istimewa, kami menyusuri laluan sungai.

WARNA biru dan hijau Air Terjun Daranak menggamit pengunjung.
WARNA biru dan hijau Air Terjun Daranak menggamit pengunjung.

Sememangnya, percutian singkat kami ini agak ringkas, namun tempat yang dikunjungi mempunyai keunikan tersendiri dan amat berbaloi kepada sesiapa yang inginkan kelainan.

Siapa sangka kami sempat ke luar negara sebelum bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negara kita pada 18 Mac 2020 disebabkan penularan pandemik Covid-19 di seluruh dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Mei 2021 @ 6:45 AM