Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Sistem asuhan dan pendidikan awal kepada kanak-kanak berusia enam tahun ke bawah secara percuma di seluruh negara antara manifesto Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ini bermakna selepas ini Malaysia akan mempunyai sistem pendidikan awal percuma yang tersedia untuk semua di seluruh negara, selain sistem sekolah rendah dan menengah yang dilaksanakan ketika ini.

"Perubahan sistem yang radikal ini bukan saja akan mengurangkan sebahagian besar kos penjagaan kanak-kanak, tetapi menjadi bukti komitmen dan pelaburan besar negara dalam memastikan asuhan serta pendidikan awal dilakukan dengan cara terbaik.

"Semoga perubahan radikal ini akan menjadi titik mula dalam ikhtiar kita untuk membangun keupayaan kognitif anak-anak supaya mereka membesar menjadi generasi kuat, cerdas dan berkemahiran," katanya pada pelancaran manifesto BN yang disiarkan secara langsung malam ini.

Ahmad Zahid berkata, BN juga akan memperkenalkan Sistem Persekolahan Tanpa Buku Teks yang akan menyaksikan pembelajaran berlangsung menggunakan komputer riba dan inisiatif besar adalah memberi komputer riba percuma kepada semua pelajar B40 dan memastikan 100 peratus liputan Internet 5G di semua sekolah dalam masa 18 bulan.

Katanya, ini akan membantu menyelesaikan isu beg sekolah berat dan membolehkan kemas kini sukatan pelajaran dilakukan dengan lebih pantas serta mudah.

AHMAD Zahid ketika melancarkan manifesto BN malam tadi.
AHMAD Zahid ketika melancarkan manifesto BN malam tadi.

Pada peringkat pengajian tinggi pula, beliau berkata, BN akan memberikan pendidikan tinggi percuma kepada anak kalangan B40 sebagai usaha serius membasmi kemiskinan.

Beliau berkata, universiti awam juga akan menawarkan sistem pengajian anjal iaitu 50 peratus pengajian di kampus dan bakinya secara dalam talian atau jarak jauh yang akan mengurangkan sehingga separuh kos pengajian.

Dalam pada itu, majikan juga selepas ini diwajibkan membuat bayaran elaun kepada semua mahasiswa yang melakukan latihan amali bagi menghapuskan eksploitasi.

"Perkara ini kita usahakan kerana kita sedar, pendidikan bukan saja pertahanan terbaik malah senjata ampuh dalam memerangi kekurangan serta kesenjangan hidup," katanya.

Malaysia yang sedang bergerak menjadi sebuah negara tua, Ahmad Zahid berkata, perubahan radikal akan dilakukan adalah mewujudkan ekosistem perlindungan dan penjagaan warga emas melalui penggubalan Akta Penjagaan Warga Emas selain memantapkan fungsi pusat penjagaan warga emas serta orang kurang upaya (OKU) dengan peruntukan RM105 juta untuk lima tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 November 2022 @ 10:06 PM