Mahaizura Abd Malik


Putrajaya: Aspek keselamatan murid dan pelajar akan menjadi fokus Kementerian Pendidikan (KPM) ketika sesi pembelajaran dan pengajaran (PdP) secara bersemuka bermula 3 Oktober ini. Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, segala tindakan dalam konteks pembukaan sekolah secara bersemuka dilakukan dengan mengambil kira pandangan pelbagai pihak.

"Apa yang penting dalam konteks ini selepas melihat sekolah ditutup sekian lama, maka kita tetapkan sebaiknya anak-anak ini dibawa ke sekolah dalam keadaan yang selamat.

"Sistem penggiliran akan mengurangkan jumlah murid dalam kelas maka kita dapat kurangkan risiko jangkitan Covid-19 dalam kelas.

"Kedua ialah pengawalan murid yang mana guru perlu pastikan hanya 18 murid (separuh kelas) mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Itu pendekatan baharu mengambil pandangan semua pihak dan melihat apakah yang terbaik mencari jalan tengah demi pastikan anak-anak kita dapat kembali ke sekolah dalam keadaan selamat," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Katanya, pembukaan sekolah bersemuka akan dilakukan secara berperingkat dan tertakluk kepada fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN).

"Dalam semua keadaan, semua mereka yang berada di sekolah mesti sudah divaksin dan kita sudah keluarkan arahan khususnya pengusaha termasuk keselamatan, pembersihan, kantin dan dewan makan memastikan kakitangan mereka divaksin.

"Bagi guru yang enggan divaksin kita tidak benarkan mereka mengajar secara bersemuka dan tindakan untuk golongan ini (kecuali yang tidak boleh divaksin disebabkan faktor kesihatan) akan dibincangkan bersama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

"Bagi pemandu bas sekolah pula, kita sudah mendapatkan senarai pengusaha bas sekolah dan berbincang supaya pemandu bas sekolah dalam senarai kita divaksinkan, " katanya.

Beliau berkata, aktiviti sukan dan kokurikulum masih belum dibenarkan, namun kelas pendidikan jasmani dan kesihatan (PJK) dibenarkan.

"Bagi mengelak kesesakan bilik persalinan, kita tetapkan syarat murid sudah siap memakai pakaian sukan dari rumah.

"Kita juga akan menyediakan pelitup muka terutama kepada murid memerlukan seperti keluarga miskin kerana pemakaian pelitup muka akan diwajibkan di kawasan sekolah.

"Selain itu, kit ujian kendiri juga akan disediakan untuk murid yang bergejala semasa berada di sekolah dan akan diasingkan dalam bilik isolasi khas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 September 2021 @ 6:22 PM