Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Penuntut universiti yang lengkap vaksinasi akan kembali ke kampus secara berperingkat, bermula 15 Oktober depan.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, ia membabitkan semua kategori pelajar dan semua fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) dengan keutamaan diberikan kepada pelajar berkeperluan.

"Keputusan ini dibuat selepas mengambil kira input sesi libat urus bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), pengurusan IPT merangkumi Naib Canselor, Timbalan Naib Canselor, wakil persatuan IPT swasta (IPTS), Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) serta wakil kesatuan pelajar.

"Proses kemasukan pelajar akan menggunakan Prosedur Operasi Standard (SOP) Sektor Pendidikan Tinggi: Pengoperasian IPT.

"Keberadaan warga IPT yang lengkap divaksin akan membentuk komuniti sosial selamat dan mewujudkan persekitaran Fasa 4 PPN di dalam kampus. SOP ketat perlu diamal bagi menguruskan pergerakan keluar dan masuk," katanya pada sidang media Pengumuman Pengoperasian IPT secara maya, hari ini.

GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP

Noraini berkata, penuntut yang tidak boleh divaksin atas faktor kesihatan diminta menghubungi IPT masing-masing untuk penyelarasan.

Selain penuntut, beliau berkata, staf akademik dan bukan akademik yang lengkap vaksinasi saja dibenarkan masuk ke kampus.

Katanya, perkara itu tertakluk kepada kapasiti IPT dengan mematuhi SOP yang ditetapkan sebagai langkah membentuk persekitaran selamat.


Sementara itu, beliau turut memaklumkan tiga kategori penuntut antarabangsa yang dibenarkan masuk ke Malaysia.

"Pertama, pelajar warga United Kingdom (UK) yang sebelum ini kemasukannya disekat, kedua adalah pelajar program Moboliti dan Edutourism serta ketiga tanggungan yang sah bagi pelajar yang berhasrat membawa keluarga bersama ke negara ini.

"Bagi pelajar antarabangsa lengkap divaksin, mereka perlu mendaftar dengan Education Malaysia Global Services (EMGS) sebelum diberikan kebenaran masuk ke Malaysia oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM)," katanya.

Beliau berkata, ujian calitan RT-PCR perlu dijalankan tiga hari sebelum masuk ke Malaysia dan setiba di negara ini mereka akan menjalani saringan kesihatan serta kuarantin di lokasi ditetapkan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 September 2021 @ 2:27 PM