Redzuan Muharam


Melaka: Sejak 10 tahun lalu, Johar Abu tidak pernah lelah menjaga isterinya, Roswati Rahman yang lumpuh seluruh badan.

Sepanjang tempoh itu, Johar, 60, menghabiskan masa dengan menjaga Roswati, 52, malah dia menjadi peneman setia isterinya setiap hari.

Tiga bulan lalu, giliran Johar pula diuji apabila disahkan menghidap barah paru-paru tahap empat dan dimasukkan ke wad Institut Kanser Negara (IKN) Putrajaya.

Detik isterinya datang melawat di wad meruntun hati anaknya kerana melihat kedua ibu bapa sama-sama menanggung derita.

Pertemuan pasangan itu sempat dirakam kemudian videonya dimuat naik anak mereka, Norfaziana Johar, 31, hingga turut menyentuh hati netizen.

Menerusi video itu, kelihatan Roswati menangis ketika melawat suaminya yang terbaring di katil sebelum mereka berpegangan tangan.

Norfaziana berkata, video itu dirakam adiknya ketika melawat bapa mereka di wad dan tidak sangka mendapat perhatian ramai pengguna TikTok.

"Ahad lalu, saya dan suami uruskan abah untuk temujanji di hospital namun tak tahu abah akan ditahan di wad selepas pemeriksaan doktor.

"Disebabkan itu, kami perlu patah balik ke rumah di Bukit Rambai untuk ambil adik dan waktu itu emak nak ikut sekali.

"Sampai di wad, emak menangis melihat keadaan abah dan sebagai anak, memang tak tahan tengok mereka mengenangkan kedua ibu bapa diuji sakit.

"Mana tidaknya, sebelum ini abah sihat dan dia banyak menangis memikirkan keadaan emak yang entah bila akan sembuh," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Norfaziana berkata, sebelum disahkan menghidap barah, bapanya mengalami batuk berpanjangan daripada akhir tahun lalu hingga Januari lalu.

Pada awalnya doktor mengesyaki bapanya menghidap tibi namun pemeriksaan lanjut hasil imbasan tomografi berkomputer (CT Scan) dan Pengimejan Resonans Magnetic (MRI) di Hospital Melaka mendapati abah menghidap barah.

"Tak sangka abah sakit sampai macam itu sekali dan lebih sedih sebenarnya abah dia tak pernah masuk hospital tetapi tiba-tiba kena.

"Lagipun, abah penderma darah sejak zaman bujang, jadi nak menerima (kenyataan) agak susah malah ambil masa dua hari untuk berterus terang dengan emak.

"Emak yang paling sedih hingga menangis tak berhenti bila dapat tahu malah saya nampak dia termenung baru-baru ini selepas abah masuk hospital," katanya.

Sebagai anak, Norfaziana mengakui kagum dengan keikhlasan bapa yang sentiasa ada di sisi ibunya sebelum ini walaupun dalam keadaan sulit.

"Boleh dikatakan, abah teman emak 24 jam, dia yang masak kerana mak nak makan air tangannya.

"Abah layan emak macam ratu dan sentiasa pesan kepada kami emak syurga serta ladang pahala kami.

"Kami (anak-anak) pernah tanya abah adakah dia tak nak kahwin lain dan abah jawab, biarlah abah nikah sekali, hidup sekali juga mati sekali kerana dia nak jaga emak sampai akhir hayatnya," katanya.

Jauh di sudut hati, Norfaziana berharap ada sinar dan keajaiban Allah kerana mahu melihat kedua ibu bapanya kembali sihat.

"Buat masa ini, abah masih di wad dan perlu teruskan lima sesi rawatan kemoterapi sehingga esok kerana jika tidak buat, dia akan lumpuh.

"Keadaannya memang lemah dan adik lelaki bujang (Kamarul Johar, 26) yang menjaganya sementara ada hari kami akan datang melawat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 April 2023 @ 3:25 PM
JOHAR bersama isterinya, Roswati yang lumpuh akibat angin ahmar sejak 10 tahun lalu. FOTO ihsan Norfaziana Johar
JOHAR bersama isterinya, Roswati yang lumpuh akibat angin ahmar sejak 10 tahun lalu. FOTO ihsan Norfaziana Johar