Lee Lam Thye. FOTO AZIAH AZMEE.
Lee Lam Thye. FOTO AZIAH AZMEE.
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Sistem audit keselamatan perlu diwujudkan dan dilaksanakan oleh Jabatan Pembangunan Landskap dan Rekreasi Kuala Lumpur Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi memastikan masalah pokok tumbang dapat dikenal pasti awal sekaligus mengelakkan ia daripada berulang.

Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat Tan Sri Lee Lam Thye berkata, perkara itu bukanlah berlaku buat kali pertama.

Menurutnya, sebelum ini juga ia pernah berlaku di beberapa kawasan yang terdapat banyak pokok ditanam dan dibiarkan besar.

"Setiap kali hujan lebat dan ribut petir kemungkinan pokok yang bermasalah dan sudah reput boleh tumbang serta membahayakan orang awam," katanya kepada Harian Metro hari ini.

Lam Thye berkata, berkenaan dengan pokok yang sudah tua dan sudah ditanam bagi jangka masa yang agak lama, beliau merasakan demi keselamatan orang awam, jabatan yang berkenaan perlu mewujudkan audit keselamatan terhadap pokok yang berusia puluhan tahun itu bagi menentukan tahap keselamatannya kepada orang awam.

"Ini penting dilakukan demi keselamatan orang ramai. Insiden yang berlaku di Taman Maluri, Cheras (semalam) seharusnya membuka mata pihak berkuasa untuk mengambil tindakan bagi memastikan insiden seperti ini tidak akan berulang.

"Kita mempunyai audit keselamatan yang mampu melakukan pemeriksaan terhadap pokok-pokok untuk menentukan risiko yang boleh berlaku sekiranya ada cuaca buruk atau yang sebagainya," katanya.

Beliau berkata, jadikan insiden itu sebagai satu pengajaran kepada pihak berkuasa tempatan bagi memastikan kes sebegini tidak berulang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 November 2022 @ 4:06 PM