Kejadian pokok tumbang di Taman Tun Dr Ismail, baru-baru ini.
Kejadian pokok tumbang di Taman Tun Dr Ismail, baru-baru ini.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Insiden pokok tumbang yang semakin kerap berlaku sejak kebelakangan ini meresahkan masyarakat, lebih-lebih lagi apabila ada kejadian yang meragut nyawa.

Ditambah pula faktor cuaca yang semakin tidak menentu dengan hujan lebat dan ribut kencang melanda tanpa diduga, meningkatkan lagi risiko kepada masyarakat terutama pengguna jalan raya, memandangkan kebanyakan kejadian membabitkan pokok yang ditanam, terutama di tepi jalan.

Dalam kejadian ribut terbaharu di Lembah Klang pada Jumaat lepas, Agensi Pertahanan Awam Malaysia (APM) Wilayah Persekutuan yang dihubungi Bernama, memberitahu agensi itu merekodkan 37 insiden pokok tumbang di bandar raya ini dan 13 di Selangor.

Mengulas tentang isu itu, pakar tumbuhan berkayu atau arboris, Prof Dr Ahmad Ainuddin Nuruddin tidak menolak kemungkinan lebih banyak pokok, khususnya di kawasan bandar, berisiko tumbang apabila dilanda ribut kencang.

Menurut bekas Presiden Persatuan Arborist Malaysia (PArPM) itu, antara faktor yang menyebabkan pokok yang ditanam di kawasan bandar lebih mudah tumbang ialah ruang fizikal tanah yang sempit dan pemilihan pokok yang tidak sesuai.

Jelas beliau, ruang fizikal tanah yang sempit akan menyebabkan pokok yang ditanam mengalami masalah akar tidak kukuh selain sukar menyerap air.

"Bayangkan di bandar, pokok banyak ditanam di tepi jalan yang biasanya turut dibina laluan pejalan kaki. Keadaan ini menyebabkan pokok itu tidak dapat berkembang dengan baik sehingga menyebabkannya tidak stabil.

"Jika pokok ditanam di kawasan hutan atau pinggir bandar, biasanya tidak banyak masalah. Yang menjadi isu sekiranya pokok itu ditanam di dalam kawasan bandar memandangkan banyak faktor perlu dilihat bagi memastikan pokok dapat tumbuh besar dan kuat tanpa merosakkan infrastruktur berdekatan," jelasnya.

Tambah memburukkan masalah ialah apabila ada pihak bertindak menanam spesies pokok yang tidak sesuai ditanam di kawasan bandar, dan menurutnya, beliau pernah menyaksikan sendiri perkara itu.

Pokok yang ditanam adalah jenis balak yang boleh membesar dan mencapai ketinggian hingga 30 meter, dan spesies ini tidak sesuai ditanam di bandar kerana berisiko tinggi untuk tumbang jika akarnya tidak kukuh, tegas beliau.

Bagi menangani isu ini, Ahmad Ainuddin yang juga bekas Pengarah Institut Perhutanan Tropika dan Produk Hutan (Introp) Universiti Putra Malaysia (UPM), mencadangkan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pemaju melaksanakan inisiatif zon kritikal dalam setiap projek pembangunan.

Zon kritikal bermaksud ada jarak bersesuaian di antara projek pembangunan dan radius akar pokok agar fungsi akar sebagai penyerap air tidak terjejas.

Untuk itu, sewajarnya pihak terbabit mendapatkan khidmat arboris, ujarnya.

Beliau juga menyarankan PBT dan pihak yang berkenaan memantau pokok-pokok yang sudah berusia kerana kejadian pokok tumbang turut membabitkan pohon kayu yang sudah matang dan ditanam sejak 1950-an selain tidak diselenggara dengan baik.

"Pokok perlu dinilai sekurang-kurangnya dua kali setahun, tetapi kita dapati banyak pokok di kawasan bandar terbiar dan tidak terurus. Kita bimbang kerana pokok tua yang tidak diselenggara dengan betul mempunyai risiko mudah tumbang dan dahan patah apabila ditiup angin kuat serta hujan lebat.

"Amat penting pokok di bandar dipelihara dan penebangan pokok bukanlah solusi terbaik untuk mengelakkan pokok tumbang," katanya, menambah penanaman pokok bukan sekadar mengindahkan landskap tetapi boleh membantu menangani masalah banjir kilat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Mei 2023 @ 8:45 AM